PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan buku khas, syiling peringatan dan dokumentari sempena ulang tahun ke-75 penubuhannya, sekali gus merakam evolusi institusi itu dalam memperkukuh keselamatan kewangan rakyat sejak 1951.
Pelancaran itu menjadi antara pengisian utama sambutan ulang tahun berkenaan yang menghimpunkan barisan kepimpinan terdahulu dan semasa, warga kerja, pemegang taruh serta rakan strategik KWSP.
Antara acara utama ialah pelancaran Lakaran Legasi KWSP, buku peringatan sempena ulang tahun ke-75 KWSP oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Naskhah berkenaan merakam kisah individu, detik penting dan sumbangan yang membentuk KWSP sepanjang beberapa dekad, di samping mengetengahkan aspirasi institusi itu pada masa hadapan.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ulang tahun ke-75 itu menjadi detik untuk mengenang dan menghargai generasi terdahulu yang membangunkan institusi berkenaan serta warisan yang ditinggalkan.
“Sesebuah institusi tidak mampu bertahan selama 75 tahun semata-mata kerana kemampuannya untuk berubah. Ia kekal relevan kerana, di sebalik segala perubahan, ia mengetahui nilai dan prinsip yang perlu dipertahankan.
“KWSP sentiasa berpaksikan kepada tujuan penubuhannya, rasa tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan serta komitmen untuk berkhidmat kepada ahli.
“Dalam melangkah ke 75 tahun yang akan datang, nilai-nilai inilah yang menjadi pegangan kami,” katanya.
Sambutan itu turut menyaksikan pelancaran syiling peringatan khas oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Selain itu, majlis berkenaan turut menayangkan pratonton video promosi rasmi Merintis Legasi: 75 Tahun Berbakti demi Ahli dan Negara, dokumentari KWSP yang menelusuri perjalanan lebih tujuh dekad serta peranannya dalam berbakti kepada ahli dan negara.
Dokumentari berkenaan dijadualkan bersiaran di RTM pada 16 November ini dan Astro AWANI pada 21 November.
KWSP ditubuhkan pada 1 Oktober 1951 di bawah Ordinan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1951 dengan matlamat asas menyediakan jaminan kewangan kepada pekerja apabila mereka bersara.
Pada peringkat awal, KWSP ditadbir di bawah Ketua Pengarah Pos Negara sebelum berkembang menjadi salah sebuah institusi keselamatan sosial utama negara. – UTUSAN











