Kad Kredit CIMB Lite-i tawar kadar keuntungan lebih rendah - Utusan Malaysia

Kad Kredit CIMB Lite-i tawar kadar keuntungan lebih rendah

NOVAN Amirudin (kiri) dan bersama Haniz Nazlan pada pelancaran Kad Kredit CIMB Lite-i hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) melancarkan Kad Kredit CIMB Lite-i, kad kredit tanpa ciri tambahan berlebihan yang direka untuk rakyat Malaysia yang mahukan kemudahan kredit praktikal dengan kos pembiayaan lebih rendah serta pilihan bayaran balik yang fleksibel.

Memuatkan artikel berkaitan…

CIMB menawarkan antara kemudahan kad kredit yang paling berpatutan dalam pasaran menerusi kadar keuntungan tetap dan tidak dikompaun sebanyak 14 peratus setahun untuk semua peringkat pelanggan, lebih rendah berbanding kadar industri semasa.

Kad berkenaan disasarkan kepada pelanggan yang mengutamakan kemampuan dan akses kepada kemudahan kredit secara bertanggungjawab berbanding ganjaran atau keistimewaan gaya hidup.

Ia sekali gus sesuai untuk membantu pengguna mengurus perbelanjaan harian serta keperluan aliran tunai jangka pendek.

Pemegang kad yang membuat perbelanjaan runcit minimum RM500 dalam satu transaksi layak menikmati Pelan Pembayaran Fleksi-i (FPP-i) pada kadar sifar peratus selama enam bulan.

Promosi yang berlangsung sehingga 31 Oktober 2027 itu memberi lebih fleksibiliti kepada pelanggan dengan membolehkan pembelian runcit yang layak ditukar kepada bayaran ansuran bulanan tanpa kos pembiayaan tambahan.

Tawaran dan promosi pedagang semasa serta kemudahan Pelan Pembayaran Mudah (EPP) lain turut tersedia kepada pemegang kad yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, pelancaran Kad Kredit CIMB Lite-i mencerminkan komitmen bank untuk menjadikan kemudahan kredit bertanggungjawab lebih mampu dimiliki rakyat Malaysia.

“Kami percaya penyelesaian kewangan perlu relevan dengan keperluan pelanggan dan membantu mereka membina daya tahan kewangan yang lebih kukuh dari semasa ke semasa.

“Melalui penawaran seperti CIMB Lite-i, kami mahu menyokong rakyat Malaysia dalam mengurus kewangan mereka supaya dapat bergerak ke hadapan dengan lebih yakin dan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan berkata, Kad Kredit CIMB Lite-i memenuhi keperluan pasaran yang semakin meningkat terhadap penyelesaian kredit praktikal pada kos rendah.

Menurut beliau, ramai pengguna kini mencari kemudahan kredit yang boleh dipercayai tanpa perlu membayar bagi ganjaran premium atau manfaat gaya hidup yang mungkin tidak diperlukan.

“Di CIMB, kami percaya kemudahan kredit perlu mudah, mampu milik dan boleh diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia.

“Dengan menawarkan kadar keuntungan lebih rendah serta pelan pembayaran fleksibel, CIMB Lite-i membantu pelanggan mengurus perbelanjaan harian, menangani keperluan aliran tunai jangka pendek dan membina rekod kredit yang sihat dari semasa ke semasa,” katanya.

Pelancaran Kad Kredit CIMB Lite-i turut memperkukuh usaha bank berkenaan dalam memperluas akses kepada kemudahan kredit bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selaras dengan penawaran kad kredit berasaskan Tawarruq oleh CIMB Islamic, kad berkenaan menggunakan struktur keuntungan tidak dikompaun selain menawarkan kadar keuntungan pendahuluan tunai yang lebih rendah berbanding alternatif konvensional dalam pasaran.

Bagi kemudahan pengguna, kad itu turut boleh ditambah ke dalam dompet digital termasuk Apple Pay, Samsung Wallet dan Google Wallet, sekali gus membolehkan pembayaran tanpa sentuh yang selamat dan mudah bagi urusan pembelian harian.

Penawaran baharu itu turut mencerminkan janji jenama CIMB, “Moving You Forward”, dalam memperkasa lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan kemudahan kewangan praktikal serta mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN