Johor Port, Persero teroka peluang kerjasama - Utusan Malaysia

Johor Port, Persero teroka peluang kerjasama

JOHOR Port meneroka peluang kerjasama bersama Persero Regional 1 Belawan bagi membangunkan kesalinghubungan maritim yang lebih kukuh antara Belawan, Sumatera Utara dan Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), anak syarikat MMC Port Holdings Berhad meneroka peluang kerjasama bersama PT Pelabuhan Indonesia (Persero) Regional 1 Belawan bagi membangunkan kesalinghubungan maritim yang lebih kukuh antara Belawan, Sumatera Utara dan Johor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Inisiatif itu bertujuan mempertingkat kecekapan pergerakan kargo, memperluaskan akses pasaran kepada komuniti perniagaan serta mengukuhkan jaringan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, potensi Koridor Perdagangan Belawan–Johor mencerminkan kepentingan kerjasama serantau dalam mewujudkan peluang baharu kepada komuniti perniagaan di kedua-dua pasaran.

“Potensi hubungan ini bukan sekadar menghubungkan dua buah pelabuhan, tetapi turut berperanan mendekatkan komuniti perniagaan dan pasaran, mewujudkan laluan perdagangan yang lebih cekap serta menyokong rantaian bekalan serantau yang lebih kukuh.

“Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan ekonomi serta hubungan rakyat yang erat.

“Melalui kerjasama rapat bersama Pelindo dan pemain industri, kami berharap dapat mengenal pasti peluang praktikal yang mampu memperkukuhkan kesalinghubungan antara Sumatera Utara dan Johor, di samping memberikan nilai tambah kepada pelanggan di kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan.

Potensi hubungan perdagangan melalui laluan Belawan–Johor telah dibincangkan semasa lawatan kerja Johor Port ke Pelabuhan Belawan pada awal September 2026, bersempena Program Indonesia–Malaysia–Thailand Growth Triangle (IMT-GT) 2026 di Medan.

Lawatan tersebut telah memberi peluang kepada Johor Port untuk mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai kemudahan operasi Pelabuhan Belawan, corak aliran kargo sedia ada serta akses kepada kawasan hinterland Sumatera Utara.

Perbincangan turut menjadi platform kepada kedua-dua pelabuhan dan pihak industri untuk bertukar pandangan berkaitan permintaan pasaran, keperluan rantaian logistik serta potensi kerjasama komersial pada masa hadapan.

Johor Port berkata, fokus utama bukan sekadar memperkenalkan satu lagi laluan perkhidmatan perkapalan, tetapi untuk membangunkan koridor perdagangan yang mampan dari aspek komersial serta memenuhi keperluan sebenar pemilik kargo, pengimport, pengeksport, syarikat perkapalan dan penyedia perkhidmatan logistik.

“Pelabuhan Belawan merupakan salah satu pintu masuk utama ke kawasan hinterland Sumatera Utara, manakala Johor Port menyediakan akses strategik ke Johor, pasaran Malaysia yang lebih luas serta rangkaian perkapalan serantau yang kukuh.

“Hubungan yang lebih erat antara kedua-dua pelabuhan berpotensi menyediakan aliran kargo yang lebih terus serta pilihan laluan tambahan kepada pelanggan dalam menggerakkan barangan merentasi rantau ini.

“Cadangan hubungan perdagangan Belawan–Johor berpotensi menyokong pergerakan pelbagai jenis kargo merangkumi sektor pembuatan, barangan pengguna, kargo industri serta perdagangan serantau yang lain,” jelasnya.

Tambahnya, inisiatif ini selari dengan strategi Johor Port untuk memperkukuhkan kesalinghubungan intra-Asia serta memperluaskan capaian komersialnya melangkaui kawasan hinterland sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN