Hektar REIT tanam 200 pokok bakau, perkukuh agenda kelestarian

Hektar REIT tanam 200 pokok bakau, perkukuh agenda kelestarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hektar Asset Management Sdn. Bhd. memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penanaman 200 pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor, Selangor, dengan kerjasama Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS).

Inisiatif yang dilaksanakan pada 23 September lalu itu membabitkan 40 kakitangan Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan habitat pesisir pantai dan tindakan menangani perubahan iklim berasaskan alam semula jadi.

Program berkenaan dianggarkan berpotensi menyumbang kepada penyerapan antara 20 hingga 40 tan karbon sepanjang hayat pokok yang ditanam, sekali gus membantu menyokong usaha mengurangkan kesan perubahan iklim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar, berkata inisiatif kemampanan yang bermakna perlu diterjemahkan kepada tindakan praktikal yang memberikan manfaat kepada alam sekitar.

“Melalui kerjasama kami dengan MNS, inisiatif ini menyumbang kepada usaha pemulihan bakau yang menyokong penyerapan karbon, melindungi garis pantai, memulihara biodiversiti dan memperkukuh daya tahan ekosistem pesisir,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, penjagaan alam sekitar merupakan sebahagian penting daripada agenda kelestarian Hektar REIT, yang akan terus mengenal pasti inisiatif praktikal dan bermakna bagi menyumbang secara positif kepada alam sekitar.

Beliau berkata, usaha itu turut bertujuan meningkatkan kesedaran serta memupuk tanggungjawab bersama dalam kalangan kakitangan terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“Penanaman bakau dipilih kerana ekosistem berkenaan mempunyai keupayaan menyimpan karbon, selain membantu mengurangkan hakisan pantai dan menyediakan habitat serta kawasan pembiakan bagi hidupan marin.

“Ekosistem bakau juga memainkan peranan penting dalam menyokong sumber perikanan dan mata pencarian komuniti pesisir pantai,” katanya.

Sepanjang program itu, peserta menerima bimbingan MNS dalam aktiviti penanaman anak pokok bakau. 

Memandangkan kawasan penanaman terletak di dalam hutan simpan, MNS akan meneruskan pemantauan dan penjagaan pokok berkenaan bagi menyokong pertumbuhan serta kelangsungan hidupnya.

MNS ialah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan warisan semula jadi dan biodiversiti Malaysia. 

Organisasi itu turut menguruskan Taman Alam Kuala Selangor bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, selain melaksanakan program pendidikan alam sekitar, penyelidikan dan pemulihan habitat.

Inisiatif penanaman bakau itu turut menyokong tiga Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu SDG 13 (Tindakan Iklim), SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat).

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Hektar REIT dalam usaha mengintegrasikan amalan kelestarian ke dalam operasi perniagaan, meningkatkan penglibatan pekerja serta menghasilkan manfaat alam sekitar dan sosial kepada komuniti setempat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini