Hari Eksport Perak 2026 buka peluang PMKS terokai pasaran antarabangsa - Utusan Malaysia

Hari Eksport Perak 2026 buka peluang PMKS terokai pasaran antarabangsa

RAJA Badrulnizam Raja Kamalzaman menyampaikan ucapan semasa Hari Eksport Perak 2026 di Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menganjurkan Hari Eksport Perak 2026 bagi memperkukuh kesediaan eksport syarikat tempatan serta membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menerokai pasaran antarabangsa.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak menerusi Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) itu diadakan pada 14 Oktober 2026 di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh, Perak.

Program bertemakan ‘Moh Kite Eksport, Moh Kite Mendunia’ ini menghimpunkan peserta daripada kalangan komuniti perniagaan negeri Perak, agensi kerajaan dan pemain industri bagi menyediakan akses kepada perkongsian ilmu, khidmat nasihat serta jaringan strategik dalam ekosistem eksport Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Strategik Matrade, Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata, kejayaan eksport memerlukan kerjasama menyeluruh antara pengeluar, agensi kerajaan, institusi pembiayaan, penyedia logistik dan pengeksport berpengalaman bagi membantu perusahaan tempatan memenuhi keperluan pasaran global.

“Matrade berharap agar sesi perkongsian dan perbincangan ini akan menjadi pemangkin kepada peserta untuk mengambil tindakan susulan bagi mengenal pasti jurang yang perlu diatasi, pasaran yang berpotensi untuk diterokai dan jaringan perniagaan yang perlu diperkukuhkan,” katanya dalam kenyataan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh, Timbalan Pengarah Sektoral I, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, L. Kumaresan.

Sementara itu, Matrade turut menekankan potensi syarikat dari negeri Perak untuk berkembang ke pasaran antarabangsa berdasarkan penyertaan dan pencapaian mereka dalam program promosi eksport.

Katanya, sebanyak 28 syarikat dari negeri Perak menyertai pameran perdagangan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026, manakala 29 syarikat Perak menyertai program padanan perniagaan International Sourcing Programme (INSP) sempena MIHAS 2026 yang telah berlangsung pada 23 hingga 26 September 2026.

“Matrade menyediakan pelbagai inisiatif pembangunan pengeksport antaranya program latihan, maklumat pasaran, dan khidmat nasihat melalui Matrade Akademi.

“Syarikat juga boleh mendapatkan bimbingan bagi menilai tahap kesediaan eksport dan mengenal pasti program sokongan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Perak menerusi STeP terus komited memperkukuh pembangunan usahawan tempatan melalui kerjasama strategik bersama Matrade dan agensi berkaitan.

Jelasnya, pendekatan ini bertujuan memastikan usahawan bukan sahaja memperoleh maklumat mengenai peluang eksport, malah mendapat akses kepada bimbingan dan sokongan yang diperlukan untuk meningkatkan daya saing perniagaan.

“Hari Eksport Perak 2026 merupakan platform penting bagi membantu usahawan tempatan mengukuhkan langkah, daripada sekadar berminat kepada benar-benar bersedia menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Program sehari ini merangkumi enam sesi panel yang mengetengahkan aspek kesediaan eksport, peluang pasaran antarabangsa, pendigitalan perniagaan, pembiayaan, logistik serta sokongan pembangunan pengeksport.

Sesi mengenai integrasi ke dalam rantaian bekalan syarikat multinasional (MNC) turut memberi tumpuan kepada peluang PMKS untuk menjadi vendor pilihan, memenuhi keperluan perolehan dan menyertai program pembangunan vendor, dengan perkongsian perspektif industri daripada Carsem Malaysia dan Coherent Malaysia.

Selain sesi perkongsian, sebanyak 21 organisasi yang terdiri daripada kementerian, agensi Persekutuan dan negeri serta pemain ekosistem eksport Malaysia turut menyediakan kaunter khidmat nasihat bagi membantu peserta mendapatkan penerangan dan mengenal pasti sokongan yang bersesuaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini