Harga telur dijangka terus naik berikutan gangguan cuaca

Harga telur dijangka terus naik berikutan gangguan cuaca

FENOMENA El Nino memberi tekanan kepada produktiviti ayam penelur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga telur di Malaysia dijangka terus meningkat dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang berikutan kekangan bekalan, gangguan cuaca serta penutupan beberapa ladang ternakan, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB).

Bank pelaburan berkata, pasaran telur tempatan kini mula berubah selepas berdepan isu lebihan bekalan dan harga rendah di peringkat ladang susulan penarikan sepenuhnya subsidi oleh kerajaan.

“Perubahan pasaran ini jelas kelihatan menerusi pemulihan harga telur Gred C daripada sekitar 20 sen sebiji pada April dan Mei kepada kira-kira 33 sen pada akhir Jun, sebelum terus melepasi paras 40 sen pada Ogos.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenaikan harga ini didorong oleh penutupan ladang ternakan di Perak serta peningkatan kos makanan ternakan, menyaksikan harga jagung dan kacang soya masing-masing melonjak lebih 10 peratus setakat tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, pengurusan QL Resources Bhd. (QL) turut menjangkakan trend kenaikan harga telur akan berterusan bagi tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, di samping memantau rapat tekanan kos makanan ternakan.

Mengulas mengenai faktor cuaca, HLIB berkata, fenomena El Nino memberi tekanan kepada produktiviti ayam penelur terutamanya di ladang terbuka akibat cuaca panas.

Bagaimanapun, keadaan cuaca berkenaan memberi kelebihan unik kepada bahagian pembuatan produk marin (MPM) QL, terutamanya apabila bekalan makanan ikan global menjadi semakin terhad.

“Hasil bahagian MPM melonjak 18.2 peratus tahun ke tahun, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 51.5 peratus, dengan sumbangan peningkatan keuntungan sebanyak RM30 juta didorong oleh prestasi makanan ikan yang lebih baik.

“Dengan MPM menyumbang 38 peratus kepada keuntungan sebelum cukai kumpulan pada tahun kewangan 2026, bahagian ini dijangka kekal sebagai pemacu utama pendapatan QL bagi tahun kewangan 2027. Sumbangannya melonjak kepada 54 peratus pada suku pertama 2027, manakala bahagian perniagaan ternakan bersepadu (ILF) susut kepada 32 peratus,” tambahnya.

HLIB menjangkakan dua suku tahun akan datang bakal menjadi tempoh kemuncak bagi kitaran semasa QL, disokong oleh peningkatan hasil tangkapan ikan secara bermusim menjelang musim penangkapan ikan kedua di Peru pada November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini