PETALING JAYA: Indeks harga seunit simen meningkat antara 0.3 peratus hingga 1.9 peratus pada September 2026 berbanding bulan sebelumnya, dengan kenaikan tertinggi direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.
Jabatan Perangkaan (DOSM) berkata, kenaikan harga simen itu dicatatkan juga di Kota Kinabalu dan Kuching, masing-masing sebanyak 0.3 peratus.
“Dalam perkembangan berkaitan, indeks harga seunit pasir mencatatkan penurunan antara 0.1 peratus hingga 0.7 peratus pada September 2026 berbanding bulan sebelumnya.
“Penurunan tertinggi direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sebanyak 0.7 peratus, manakala Perak dan Johor masing-masing mencatatkan penurunan 0.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, DOSM berkata, indeks harga seunit besi turut jatuh antara 0.2 peratus hingga 1.6 peratus mengikut kawasan, dengan Johor merekodkan penurunan tertinggi sebanyak 1.6 peratus, diikuti Sibu dan Miri yang masing-masing mencatatkan penurunan 1.3 peratus.
Bagaimanapun, perbandingan tahunan bagi September 2025 dan September 2026 menunjukkan indeks harga seunit besi meningkat antara 0.1 peratus hingga 5.1 peratus di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi dicatatkan di Perak sebanyak 5.1 peratus, diikuti Johor dengan 4.8 peratus dan Tawau sebanyak 3.8 peratus.
“Perbandingan tahun ke tahun, indeks harga seunit simen turut meningkat antara 0.6 peratus hingga 7.4 peratus pada September 2026 berbanding bulan sama tahun lalu, melibatkan seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan merekodkan kenaikan tertinggi sebanyak 7.4 peratus, diikuti Kuching dengan 7.0 peratus dan Miri sebanyak 6.6 peratus,” katanya.
Menurut DOSM, purata harga bahan binaan harga simen jenis Ordinary Portland dimaklumkan kekal tidak berubah pada RM25.80 bagi setiap beg 50 kilogram .
Katanya, purata harga besi yang merangkumi bar bulat keluli lembut dan bar keluli tegangan tinggi terdeformasi Mycon 60 turun 2.4 peratus kepada RM3,431.90 setan berbanding RM3,484.20 pada Ogos 2026.
“Indeks Kos Bahan Binaan (IKB), termasuk bar keluli, mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan antara 0.1 peratus hingga 1.3 peratus pada September 2026.
“IKB di Sabah pula susut antara 0.1 peratus hingga 0.7 peratus bagi hampir semua kategori bangunan, manakala Sarawak jatuh antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus bagi semua kategori bangunan,” katanya. – UTUSAN










