KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hasil cukai negara tanpa menaikkan kadar cukai, termasuk mengkaji semula ambang pendapatan bagi kadar marginal cukai pendapatan individu yang lebih tinggi.
Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr. Apurva Sanghi berkata, langkah itu penting berikutan antara isu struktur terbesar Malaysia ketika ini ialah kemerosotan hasil cukai berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata, kerajaan boleh meningkatkan mobilisasi hasil melalui beberapa kaedah tanpa perlu menaikkan kadar cukai, termasuk menurunkan ambang pendapatan yang dikenakan kadar marginal cukai pendapatan individu lebih tinggi.
“Pada masa ini, ambang cukai pendapatan individu di Malaysia agak tinggi berbanding banyak negara lain.
“Jadi, menurunkan ambang tanpa meningkatkan kadar cukai merupakan satu cara untuk meningkatkan hasil,” katanya semasa Taklimat Media Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia dan Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan had yang lebih jelas terhadap pelepasan dan potongan cukai, khususnya bagi kumpulan berpendapatan tinggi.
Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan 2027 wajar memberi perhatian kepada usaha memudahkan struktur cukai pendapatan korporat bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Pada masa ini terdapat struktur kadar berbilang, tetapi ia boleh disatukan kepada satu kadar cukai korporat keutamaan.
“Selain itu, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menghapuskan secara berperingkat layanan cukai istimewa apabila firma berkembang melepasi ambang PKS.
“Penarikan layanan cukai secara mendadak apabila sesebuah PKS berkembang menjadi firma bukan PKS boleh mewujudkan apa yang dikenali sebagai tebing cukai (tax cliff).
“Ini mengurangkan insentif untuk PKS berkembang secara rasmi menjadi firma yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata, struktur insentif yang menggalakkan firma berkembang melepasi status PKS penting memandangkan sekitar 97 hingga 98 peratus syarikat di Malaysia terdiri daripada PKS dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam aspek perlindungan sosial pula, Apurva berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan peningkatan jumlah bantuan bagi setiap penerima menerusi skim sedia ada seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Katanya, walaupun liputan bantuan berkenaan telah diperluaskan, terdapat isu kecukupan kerana manfaat yang ada masih tersebar kepada ramai penerima.
“Jadi, meningkatkan manfaat bagi setiap penerima merupakan satu perkara yang mungkin boleh dipertimbangkan dalam belanjawan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya perlindungan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) diperluaskan kepada pekerja gig, termasuk melalui pertimbangan pemberian geran padanan kerajaan bagi menggalakkan penyertaan.
Selain itu, beliau berkata, perlindungan sosial untuk warga emas juga perlu diperkukuhkan berikutan Malaysia sedang menuju status negara menua. – UTUSAN











