PETALING JAYA: Battersea Power Station Development Company memperoleh pembiayaan semula bernilai £280 juta (RM1.5 bilion) daripada empat institusi perbankan utama bagi menyokong pembangunan baki 6.4 hektar kawasan kejiranan tepi Sungai Thames itu.
S P Setia berkata, kemudahan pembiayaan berkenaan diperoleh daripada kumpulan pemberi pinjaman yang telah menyokong pembangunan projek itu sejak awal iaitu CIMB, OCBC, Maybank dan Standard Chartered.
“Pembiayaan itu mencerminkan keyakinan institusi kewangan terhadap rekod pelaksanaan projek Battersea Power Station, kematangan komersialnya serta kesediaan untuk meneruskan fasa pembangunan seterusnya.
“Pengumuman itu dibuat susulan penyerahan pelan induk yang disemak semula bagi baki 6.4 hektar ekar tanah yang belum dibangunkan, hasil reka bentuk firma perancang induk, pereka bandar dan arkitek landskap terkenal, Studio Egret West.
“Pelan berkenaan mencadangkan pembangunan sehingga 3.2 juta kaki persegi ruang kediaman, komersial dan rekreasi, sekali gus hampir menggandakan skala pembangunan yang telah disiapkan setakat ini dan melengkapkan kawasan kejiranan tepi sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kemajuan turut dicatatkan menerusi fasa pembangunan seterusnya, Prospect Place South, yang memulakan kerja pembinaan pada awal September.
“Dua bangunan baharu yang direka oleh Gehry Partners itu dijangka menyediakan kira-kira 300 unit kediaman, ruang komersial seluas 65,000 kaki persegi untuk kedai, kafe dan restoran serta hab komuniti seluas 15,000 kaki persegi.
“Pembangunan itu turut merangkumi hab basikal dan melengkapkan laluan pejalan kaki di kawasan komersial utama, Electric Boulevard,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, projek berkenaan turut menerima kelulusan perancangan bagi pembinaan 200 unit rumah majlis berkualiti tinggi menerusi kerjasama dengan Wandsworth Council di bawah program Homes for Wandsworth.
Rumah berkenaan akan dibina di fasa lima pembangunan dan ditawarkan kepada penduduk tempatan, termasuk keluarga, pada kadar sewa sosial.
Kerja pembinaan dijangka bermula pada awal 2027.
Fasa pembangunan akan datang itu akan melengkapi kemajuan sedia ada yang merangkumi lebih 2,200 unit kediaman, kira-kira 800,000 kaki persegi ruang pejabat serta lebih 170 kedai, bar, restoran dan premis rekreasi yang kini beroperasi di Battersea Power Station.
Ketua Pegawai Kewangan Battersea Power Station Development Company, Chee Seng Siew berkata, kejayaan pembangunan semula berskala besar seperti Battersea Power Station bergantung pada sokongan modal jangka panjang dan keyakinan bersama terhadap nilai yang mampu diwujudkan oleh sesuatu kawasan.
Menurut beliau, sokongan berterusan daripada pemberi pinjaman ketika pasaran hartanah lebih perlahan menunjukkan keyakinan terhadap transformasi yang telah dicapai, termasuk pemulihan stesen janakuasa terbiar yang disenaraikan sebagai bangunan warisan Gred II serta pembentukan kawasan kejiranan tepi sungai yang aktif.
Katanya, kemudahan pembiayaan semula itu merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha memajukan baki tanah berkenaan, selain menyediakan asas kewangan yang kukuh bagi pembangunan fasa seterusnya.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada pemberi pinjaman serta pemegang saham kami, S P Setia, Sime Darby Property dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas sokongan berterusan mereka ketika kami membawa Battersea Power Station ke fasa pembangunan seterusnya,” katanya.
Pembiayaan terbaharu itu dijangka menyokong kesinambungan pembangunan kawasan berkenaan, di samping mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham dan komuniti setempat. – UTUSAN











