SHAH ALAM: Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah, melancarkan logo baharu sebagai simbolik kepada fasa penjenamaan semula bagi memperkukuh kehadiran di pasaran antarabangsa, khususnya rantau Asia Barat.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, selepas membina reputasi selama lebih dua dekad di Malaysia, syarikat kini bersedia melebarkan sayap ke luar negara secara lebih tersusun dan terancang.
Katanya, destinasi pertama yang akan diterokai ialah Oman, negara di rantau Teluk yang dianggap paling realistik untuk dimasuki berdasarkan faktor sistem undang-undang dan penerimaan terhadap perancangan harta patuh syariah.
“Kita merancang untuk memasuki pasaran Oman selewat-lewatnya suku pertama 2026, dengan peruntukan awal sebanyak RM1 juta atau kira-kira 80,000 Riyal Oman.
“Kita sudah sampai ke tahap perbincangan serius dengan beberapa institusi kewangan di Oman yang menunjukkan minat mendalam untuk memperkenalkan hibah sebagai sebahagian daripada produk perbankan Islam mereka.
“Kalau kita boleh menembusi pasaran Oman, kita yakin menembusi negara-negara Teluk lain akan jadi lebih mudah kerana negara lain tidak seketat Oman dari segi piawaian syariah,” katanya semasa Majlis Peluncuran Wajah Baharu Wasiyyah di Hotel Concorde Shah Alam hari ini.
Wasiyyah Shoppe turut melantik pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor sebagai duta rasmi bagi memperkukuh mesej jenama serta mendekati masyarakat melalui komunikasi yang lebih berkesan.
Mengulas lanjut, Ariffin turut menyasarkan peningkatan kewangan tahunan kepada hampir RM8 bilion menjelang akhir tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar berkata, perancangan harta secara syariah wajar diberikan tumpuan setara dengan segmen kewangan Islam lain seperti takaful dan pelaburan.
“Sebagai Pengerusi MIFC, kami akan cuba melihat potensi bagaimana perancangan harta secara Syariah ini boleh diperkukuh seiring dengan ekosistem kewangan Islam semasa.
“Pelancaran logo dan penjenamaan semula Wasiyyah Shoppe adalah langkah strategik yang selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab perancangan harta secara Islam global,” katanya. – UTUSAN