KUALA LUMPUR: Tempoh penangguhan tarif selama 90 hari dianggap terlalu singkat dan menjangkakan penangguhan itu sepatutnya lebih lama berbanding itu, kata Timbalan Menteri Kewangan Laos, Soulivath Souvannachoumkham.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan untuk menangguhkan tarif perdagangan baharu terhadap puluhan negara bagi tempoh 90 hari.
Namun, langkah itu tidak termaktub untuk China, malah AS terus meningkatkan tekanan terhadap negara itu.
Keputusan tersebut dibuat dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas kadar tarif baharu dilaksanakan oleh pentadbiran Trump yang menyaksikan pasaran saham dunia merudum.
Beliau berkata, isu tersebut merupakan perkara baharu dan sangat penting bukan sahaja kepada negara-negara ASEAN, malah kepada seluruh dunia termasuk Laos sendiri.
“Mungkin ini antara kesan yang akan kami hadapi dalam beberapa bulan akan datang.
“Sudah tentu ia sukar dan mencabar bagi banyak negara, terutamanya negara kecil dan berpendapatan rendah seperti kami kerana kuasa tawar-menawar yang terhad,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) 2025 hingga 2028 di sini, hari ini.
Menurutnya, Laos kini sedang membuat persiapan untuk berbincang dengan negara-negara ASEAN bagi menentukan pendekatan terbaik, sama ada menerusi blok serantau itu atau secara individu.
“Dari segi hubungan dua hala pula, kami akan meneliti bagaimana rundingan dengan AS dapat dijalankan bagi menyelesaikan isu ini.
“Selain itu, kami mahu mencari penyelesaian dua hala untuk memperbaiki perdagangan dan meningkatkan pelaburan di negara-negara yang terjejas akibat tarif baharu yang dikenakan oleh pentadbiran Trump,” katanya. – UTUSAN