KUALA LUMPUR: Tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas sarung tangan buatan China tidak mencukupi untuk mengubah cabaran lebihan bekalan struktur dalam industri sarung tangan global, walaupun dijangka dapat membantu pemain industri tempatan mengembangkan pasaran mereka di ekonomi terbesar dunia, kata AmInvestment Bank (AmInvest).
AmInvest menjangkakan bekalan akan melebihi permintaan sehingga 2026, dan hanya akan mencapai keseimbangan pada 2027, berdasarkan andaian pertumbuhan permintaan sebanyak sembilan peratus setahun bagi tempoh 2025 hingga 2027, turun daripada 11 peratus pada 2024.
“Kami kekal berhati-hati kerana dinamik bekalan, inflasi kos, dan perubahan strategi oleh pemain China terus memberi tekanan kepada asas sektor ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma itu turut menurunkan harga sasaran bagi Hartalega Holdings Bhd. kepada RM2.30 daripada RM3, selepas mengurangkan gandaan penilaian kepada 17 kali nisbah harga-keuntungan daripada 22 kali.
“Ini disebabkan oleh persaingan yang semakin sengit di pasaran AS mungkin menghakis harga premium syarikat dalam jangka sederhana hingga panjang.
“Dalam pasaran global yang sudah terlebih bekalan, dinamik ini akan mengehadkan keupayaan pengeluar bukan China untuk menaikkan ASP secara bermakna dan mampan, walaupun di AS.
“Pasaran sarung tangan kekal terlebih bekalan secara struktur kerana kebanyakan pengeluar tidak mengurangkan kapasiti pengeluaran secara bermakna selepas pandemik.
“Dengan jumlah kapasiti terpasang global yang masih jauh melebihi permintaan tahunan, disiplin harga dijangka tidak akan kembali dalam masa terdekat hingga sederhana,” ujarnya.
AmInvest mengekalkan penarafan ‘underweight’ terhadap sektor itu, walaupun berlaku penjualan besar-besaran saham sarung tangan tempatan baru-baru ini dan wujudnya optimisme terhadap harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah yang lebih “kukuh” di AS.