Syarikat disaran tangguh penyenaraian sehingga pasaran stabil - Utusan Malaysia

Syarikat disaran tangguh penyenaraian sehingga pasaran stabil

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perang perdagangan global dan ketidaktentuan pasaran terus memberi impak kepada pasaran saham apabila penyenaraian beberapa syarikat di Bursa Malaysia baru-baru ini menyaksikan penampilan yang lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).

Terbaharu, SumiSaujana Group Berhad, yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE kelmarin dibuka pada 18 sen sesaham, lebih rendah daripada harga IPO permulaan pada 24 sen sesaham.

Sebelum ini, Chemlite Innovation Bhd juga gagal mendapat tarikan pada hari dagangan pertamanya pada 26 Mac lalu apabila dibuka pada 23 sen sesaham, dua sen atau lapan peratus lebih rendah daripada IPO sebanyak 25 sen.

Sehari sebelumnya, firma perkhidmatan pembinaan Wawasan Dengkil Holdings Bhd pula dibuka pada 25 sen, sama dengan harga rujukan IPO sebelum jatuh hampir serta-merta pada debut dagangan kepada 23.5 sen pada 9.10 pagi.

Hanya pengendali bas, HI Mobility Bhd. memulakan hari dagangan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Mac lalu dengan keuntungan sederhana sebanyak 9.02 peratus apabila dibuka pada RM1.27 sesaham berbanding IPO pada RM1.22.

Disebabkan ketegangan pasaran, kelmarin Cuckoo International (MAL) Berhad (Cuckoo Malaysia) mengumumkan penyenaraian syarikat di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 30 April ini dijadualkan semula pada 24 Jun.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, faktor utama yang menyebabkan kejadian ini adalah berkaitan dengan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, iaitu AS sedang bermain perang psikologi dan dagangan antarabangsa.

Katanya, perkara ini memberi kesan kepada semua kaunter saham di seluruh dunia.

“Pasaran saham masih tidak menentu buat masa ini, tetapi selepas Trump mengumumkan pengantungan pengenaan tarif tambahan kepada negara-negara yang nak berunding dengan AS, kaunter saham telah naik dengan agak tinggi juga.

“Ini kesan daripada pengumuman kuasa besar dunia yang boleh mempengaruhi pasaran modal dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, tindakan Cuckoo Malaysia yang menangguhkan dahulu penyenaraian adalah langkah yang bijak kerana mereka bersabar dan mengawasi keadaan semasa ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

“Mungkin dalam seminggu dua ini (pasaran akan kembali stabil) bergantung kepada ‘percakaran’ antara AS dan China. Bila akan berakhir atau kembali tenang. China masih mahu ‘berlawan’ dgn AS mengenai tarif ini,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penyenaraian IPO pada waktu ini mungkin tidak sesuai kerana ekonomi dunia sedang mengalami cabaran dari tindakan Trump yang berubah-ubah.

Menurutnya, para pengurus dana juga turut berhati-hati dalam memilih pelaburan yang berisiko, malah mungkin menolak pelaburan yang berisiko sederhana sekali pun.

“Ini disebabkan oleh faktor ekonomi makro dunia yang tidak stabil berikutan tindakan AS, pengurangan liberasi pasaran juga menjadi cabaran kepada pasaran setiap industri,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan Cuckoo Malaysia menangguhkan penyenaraian bukan satu perkara yang janggal sehinggalah pasaran kembali stabil nanti.

Ketika ditanya masa yang sesuai untuk penyenaraian di pasaran saham susulan situasi semasa, Aimi Zulfahmi berkata, sekiranya Trump menangguhkan pelaksana tarif 3 bulan lagi, kemungkinan paling cepat antara empat ke enam bulan selepas itu.

“Ini adalah apabila pasaran lebih stabil dan semua pihak memahami apa yang telah berlaku dan telah bersedia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya