PETALING JAYA: SPB Development Berhad (SPB Development) menangguhkan pelancaran tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad ke satu tarikh yang belum ditentukan disebabkan ketidaktentuan pasaran semasa.
Pada asalnya, syarikat dijadual disenaraikan di Pasaran Utama pada 21 April ini.
Syarikat tersebut mengikuti jejak langkah Cuckoo International (MAL) Bhd., yang turut membuat keputusan untuk menangguhkan penyenaraiannya selama dua bulan.
Menurut SPB Development, penangguhan itu dibuat susulan ketidaktentuan pasaran semasa yang disebabkan oleh keadaan perdagangan global.
“Keputusan ini dibuat hasil daripada penilaian yang teliti oleh pasukan pengurusan SPB Development, dengan matlamat untuk memastikan kemasukan syarikat ke pasaran berlaku dalam keadaan yang menyokong penciptaan nilai jangka panjang untuk para pelabur dan pihak berkepentingan.
“Kami akan terus memaklumkan kepada anda melalui saluran komunikasi rasmi kami sebaik sahaja butiran lanjut disahkan.
“Kami amat menghargai sokongan dan kefahaman berterusan anda ketika kami mengambil langkah ini demi memastikan kejayaan jangka panjang IPO syarikat dan berharap dapat menyambut kehadiran anda pada tarikh yang akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Penangguhan ini berlaku dalam suasana pasaran saham yang tidak menentu akibat ketegangan perdagangan antarabangsa yang semakin memuncak dan ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat selepas beberapa kali perubahan pendirian serta berita utama lain.
Bagaimanapun, SPB Development masih mempunyai masa sebelum kelulusan pengawalseliaan untuk penyenaraiannya tamat tempoh.
Di bawah peraturan penyenaraian, sesebuah syarikat mesti melengkapkan IPO dalam tempoh enam bulan selepas kelulusan, yang telah diperoleh dan diumumkan pada Februari lalu.
Pemaju yang berpangkalan di Melaka itu mencari dana untuk membeli lebih banyak tanah antara lain, menurut prospektus draf yang disiarkan pada Oktober 2024.
Sebahagian daripada hasil juga akan digunakan sebagai modal kerja bagi fasa pembangunan perumahan yang akan datang di Kedah dan Selangor yang dianggarkan menelan kos RM210 juta.
Sementara itu, Bursa Malaysia telah menyaksikan tujuh IPO yang mencatatkan prestasi lemah ketika hari penyenaraian sejak Mac di tengah-tengah kekacauan pasaran. – UTUSAN