PMB agih pendapatan dua dana - Utusan Malaysia

PMB agih pendapatan dua dana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan MARA Berhad mengumumkan agihan pendapatan bagi dua dana, PMB Shariah Dividend Fund dan PMB Shariah Index Fund bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.

PMB Shariah Dividend Fund mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 1.90 sen seunit, berjumlah keseluruhan RM1.26 juta. Nilai Aset Bersih (NAV) seunit sebelum agihan adalah RM0.2572, diselaraskan kepada RM0.2382 selepas agihan.

Agihan ini mewakili hasil sebanyak 8.12 peratus berdasarkan penutup seunit pada 31 Mac 2025, dengan dana tersebut mencatatkan pulangan sebanyak 9.87 peratus (termasuk hasil 8.12 peratus) untuk tempoh sama.

Sementara itu, PMB Shariah Index Fund mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 3.26 sen seunit, berjumlah keseluruhan RM1.15 juta. NAV seunit sebelum agihan adalah RM0.5442,
diselaraskan kepada RM0.5116 selepas agihan.

Agihan ini mewakili hasil sebanyak 6.01 peratus untuk tempoh sama dan merupakan satu lagi tahun kejayaan buat PMB Shariah Index Fund yang terus memberikan pulangan kukuh kepada pelabur yang mencari kepelbagaian pendedahan pasaran ekuiti patuh syariah di Malaysia.

Kedua-dua agihan telah dikreditkan pada 31 Mac 2025, manakala tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 2 April 2025.

Mengulas prestasi kukuh dana-dana itu, Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin, berkata, falsafah pelaburan kumpulan berteraskan disiplin, ketelusan, dan pematuhan kepada Shariah.

“Sepanjang lima tahun lepas, PMB Shariah Dividend Fund telah mencatat pulangan kumulatif mengagumkan sebanyak 52.23 peratus, mencerminkan keupayaannya untuk menjana pendapatan dan pertumbuhan serentak.

“Sementara itu, PMB Shariah Index Fund merekodkan pulangan kumulatif sebanyak 60.94 peratus, selari dengan penanda arasnya, FTSE Bursa Malaysia EMAS Shariah Index (FBMSHA).

“Keputusan ini mengukuhkan keupayaan kami dalam memberikan prestasi mampan merentas kitaran pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua agihan telah dikreditkan pada 31 Mac 2025, manakala tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 2 April 2025.

PMB Shariah Dividend Fund disusun untuk memberikan pendapatan yang konsisten dan stabil, dengan peruntukan antara 70 peratus hingga 99.5 peratus daripada NAV kepada ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti patuh Shariah.

Baki selebihnya dilaburkan secara berhemah dalam instrumen pasaran wang Islam, sukuk, deposit Islamik dan aset patuh Shariah yang lain.

Dana itu menyasarkan untuk mengatasi prestasi produk pendapatan tetap tradisional dalam jangka panjang.

Sebaliknya, PMB Shariah Index Fund menyasarkan pelabur yang mencari pertumbuhan modal melalui pendekatan pelaburan pasif dan mengikut prestasi FBMSHA.

Sementara itu, Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd. Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, PMB Investment bukan sekadar mengurus dana, malah memperkasakan pelabur untuk mengembangkan kekayaan mereka secara bertanggungjawab.

“Rangka kerja pelaburan Islam kami memastikan setiap keputusan selaras dengan prinsip etika dan kewangan yang bijak.

“Ketika semakin ramai rakyat Malaysia mencari penyelesaian patuh Shariah, kami berbangga menjadi peneraju dalam menyampaikan ketelusan, kepercayaan, dan prestasi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya