Perubahan tarif cetus gelombang volatiliti pasaran global - Utusan Malaysia

Perubahan tarif cetus gelombang volatiliti pasaran global

NEGARA EU berdepan 25 peratus tarif import ke atas keluli, aluminium dan kenderaan, serta tarif balas setimpal sebanyak 20 peratus untuk hampir semua barangan lain.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perubahan tarif terbaharu oleh Amerika Syarikat (AS) mencetuskan gelombang volatiliti dalam pasaran global, memaksa pelabur dan institusi kewangan untuk menilai semula strategi pelaburan mereka.

Timbalan Ketua Penyelesaian Pelbagai Aset, Asia dan Pengurus Portfolio Kanan Manulife Investment Management, Marc Franklin berkata, dalam usaha memperkukuh sektor perindustrian tempatan, AS kini dilihat bergerak ke arah kitaran perindustrian semula, yang dijangka memberi impak besar terhadap landskap perdagangan antarabangsa.

“Antara kesan paling ketara ialah potensi perubahan dalam ekonomi China dari model berorientasikan eksport kepada ekonomi yang lebih dipacu oleh penggunaan domestik.

“Ini membuka peluang baharu dalam sektor pengguna China, terutamanya jika kerajaan negara itu mempercepatkan langkah rangsangan ekonomi.

“Pelabur harus mempertimbangkan untuk meningkatkan pendedahan mereka kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan domestik AS yang mungkin mendapat manfaat daripada dasar perindustrian semula,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Pada masa yang sama, Franklin berkata, negara-negara ASEAN yang bergantung kepada eksport seperti Vietnam dan Thailand dijangka berdepan cabaran besar apabila ‘loophole transshipment’ ditutup.

“Ini memerlukan penyesuaian segera terhadap model ekonomi mereka.

“Namun, India dilihat lebih berdaya tahan kerana struktur ekonominya yang bergantung kepada permintaan domestik. Ini menjadikan negara itu sebagai destinasi menarik untuk pelabur yang ingin mengurangkan risiko geopolitik dan meningkatkan ketahanan portfolio.

“Strategi pelaburan yang memfokuskan kepada ekonomi domestik seperti India boleh membantu menstabilkan pulangan dalam persekitaran yang tidak menentu,” tambahnya.

Dalam situasi penurunan penilaian aset berisiko dan pelebaran spread kredit, pendekatan pelaburan yang fleksibel menjadi kunci utama.

“Sektor seperti saham teknologi besar AS dan bon gred pelaburan telah menunjukkan tanda-tanda awal penyusunan semula penilaian.

“Para pelabur disaran memantau rapat spread kredit dan menilai semula kelas aset yang menawarkan premium risiko yang menarik.

“Ini masa untuk strategi aktif bukan sekadar bertahan, tapi bersedia untuk menangkap peluang baharu dalam persekitaran pasaran yang sedang berubah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun terdapat cabaran semasa, potensi pulangan pasaran jangka panjang semakin meningkat apabila penilaian diselaraskan semula.

Katanya, pelabur harus mempertimbangkan untuk mengekalkan kedudukan tunai yang lebih tinggi agar bersedia merebut peluang pelaburan yang timbul daripada penilaian semula.

“Fokus harus diberikan kepada pengurusan risiko yang berdisiplin dan kepelbagaian pelaburan sambil mengambil peluang yang muncul.

“Ini melibatkan kepekaan terhadap nilai dan memanfaatkan kejatuhan pasaran tanpa cuba menjangka pasaran secara tepat dalam persekitaran yang dipengaruhi oleh tajuk berita untuk membina portfolio yang berdaya tahan dan mampu mengharungi ketidaktentuan masa hadapan dengan berkesan.

“Mengekalkan perspektif jangka panjang boleh membantu memastikan penyesuaian strategi dengan keadaan pasaran yang sentiasa berubah, sekali gus memposisikan pelabur untuk meraih pertumbuhan dalam jangka masa panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya