PETALING JAYA: Pengumuman terkini oleh pentadbiran Trump mengenai penangguhan sementara tarif ke atas import dari semua negara kecuali China dijangka memberikan peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 0.2 hingga 0.8 mata peratusan.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada tempoh penangguhan dan hasil rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-Malaysia yang dirancang pada akhir April.
Penguatkuasaan awal tarif 24 peratus ke atas Malaysia telah menyebabkan semakan semula unjuran KDNK 2025 negara sebanyak 1.0 mata peratusan kepada 4.0 peratus, terutamanya disebabkan jangkaan kejatuhan eksport dan pelaburan.
CIMB Securities berkata, langkah itu dilihat sebagai sesuatu yang positif untuk Malaysia kerana memberikan kelegaan sementara daripada ketidaktentuan perdagangan yang mungkin memberi kesan negatif kepada pertumbuhan KDNK 2025.
“Dalam senario di mana AS mengenakan tarif 10 peratus untuk tempoh 90 hari bermula 9 April 2025 hingga 8 Julai 2025 sebelum kembali kepada kadar asal 24 peratus, Malaysia boleh mengalami peningkatan pertumbuhan sebanyak 0.2 mata peratusan.
“Jika tarif 10 peratus dilanjutkan sepanjang 2025, peningkatan ini boleh mencecah 0.6 pp. Manakala, dalam senario lebih optimistik, jika tarif dimansuhkan sepenuhnya selepas Julai, peningkatan boleh mencapai 0.8 mata peratusan, meningkatkan pertumbuhan KDNK keseluruhan kepada 4.8 peratus.
“Namun, unjuran awal 2025 masih kekal pada 5.0 peratus, disebabkan ketidaktentuan yang berterusan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma itu berkata, rundingan perdagangan AS-Malaysia yang dijadualkan pada akhir April boleh mengubah prospek ekonomi dan menangani halangan perdagangan Malaysia yang sedia ada terhadap import AS.
“Ini termasuk produk pertanian, alkohol, dan kenderaan bermotor serta sekatan perdagangan lain seperti sistem permit kelulusan (AP), keperluan import makanan halal dan pemilikan asing.
“Rundingan juga mungkin merangkumi peningkatan import produk AS seperti pertahanan, pesawat dan peralatan modal. Jika berjaya, ia boleh mengukuhkan hubungan ekonomi strategik dan menyokong pertumbuhan perdagangan pada separuh kedua 2025,” ujarnya.
Bagaimanapun, CIMB Securities berkata, walaupun terdapat potensi peningkatan, unjuran pertumbuhan KDNK masih dikekalkan pada 4.0 peratus buat masa ini kerana dasar perdagangan AS masih tidak menentu dan hasil rundingan perdagangan AS-Malaysia belum pasti.
“Kegagalan rundingan boleh memburukkan semula ketegangan perdagangan, melemahkan sentimen pelabur dan mengurangkan aliran perdagangan global.
“Oleh itu, pendekatan berhati-hati diambil sebelum memasukkan senario tarif ini ke dalam unjuran asas,” katanya.
Mengulas lanjut, firma itu berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) masih mempunyai ruang untuk melonggarkan dasar monetari jika perlu, walaupun penangguhan tarif memberikan sedikit kelegaan.
“Unjuran inflasi utama 2025 dikekalkan pada 2.6 peratus, berada dalam julat sasaran BNM iaitu 1.5 peratus hingga 2.5 peratus.
“Ini disokong oleh harga komoditi global yang lemah dan tekanan disinflasi akibat lambakan produk dari China ekoran perang perdagangan AS-China.
“Keadaan ini membolehkan BNM bertindak balas secara fleksibel jika risiko luar mula materialisasi atau memberi tekanan lebih besar pada bulan-bulan akan datang,” katanya. – UTUSAN