Penangguhan tarif AS lonjak prestasi pasaran saham tempatan - Utusan Malaysia

Penangguhan tarif AS lonjak prestasi pasaran saham tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penangguhan selama 90 hari atas tarif timbal balik oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang meredakan potensi perang dagangan besar-besaran serta berlakunya kemelesetan ekonomi membantu melonjakkan pasaran saham tempatan.

Semalam, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat mendadak sebanyak 63.71 mata pada 1,464.30 pada awal dagangan dan bergerak dalam julat 1,453.13 hingga 1,473.36 pada sesi dagangan pagi.

Indeks penanda aras itu kemudian melonjak 62.54 mata dan ditutup tinggi pada 1463.13.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengumuman Trump itu membuka ruang bagi kebanyakan kerajaan di serata dunia untuk berunding dengan kerajaan AS bagi mencapai satu solusi menang-menang. 

Ujarnya, sekiranya ia dapat dicapai, sudah pasti perdagangan dengan AS dapat berjalan lebih lancar dengan kos yang terkawal dan terjamin. 

“Oleh itu, prospek keuntungan syarikat-syarikat tersenarai terutamanya yang ada pendedahan langsung terhadap negara AS akan lebih baik sekiranya persetujuan dapat dicapai. 

“Jadi ini merupakan katalis yang membantu menaikkan harga-harga saham pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, penangguhan tarif oleh Trump memang dijangka kerana polisi tarif baharu banyak memberi kesan dagangan dunia yang negatif.

Katanya, sebaiknya tarif itu bukan ditangguhkan namun sebaiknya dibatalkan terus.

“Kenaikan saham juga berpunca daripada penangguhan tarif ini.

“Oleh kerana harga saham telah mengalami penurunan yang berterusan minggu lepas maka seperti yang dijangkakan akan berlaku pembetulan teknikal,” katanya.

Jelas Mohd. Rizal, walaupun pasaran saham menaik pagi ini namun, volum masih rendah.

“Jangkaan minggu ini harga saham masih di tahap yang rendah namun stabil kerana para pelabur juga masih berhati-hati,” katanya.

Trump pada Rabu menurunkan kadar tarif baharu ke atas import daripada kebanyakan rakan dagang AS kepada 10 peratus selama 90 hari untuk membenarkan rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.

Trump mengumumkan perkara itu beberapa jam selepas barangan dari hampir 90 negara dikenakan tarif timbal balik yang lebih ketat oleh AS.

Bagaimanapun, di sebalik perkembangan terbaharu itu, Trump mengenakan lebih banyak cukai ke atas China dalam apa yang kini menjadi konfrontasi berskala penuh antara dua ekonomi terbesar dunia.

Terdahulu pada 2 April, Trump mengumumkan tarif antara 10 hingga 50 peratus ke atas lebih 180 negara, mencetuskan keresahan dalam pasaran global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya