PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan aliran jualan untuk minggu ke-26 berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM330.5 juta, jauh lebih rendah berbanding RM1.97 bilion pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali hari Jumaat, yang mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM39.9 juta.
“Aliran keluar tertinggi berlaku pada hari Rabu (RM153.6 juta).
“Hari-hari lain mencatatkan aliran keluar antara RM16.2 juta hingga RM120.6 juta. Aliran masuk bersih pada hari Jumaat mengakhiri lima hari berturut-turut aliran keluar,” katanya dalam nota aliran tunai hari ini.
MIDF Research berkata, sektor yang mencatat aliran masuk bersih pelabur asing tertinggi iaitu telekomunikasi dan media (RM119.5 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM34.4 juta), hartanah (RM2.45 juta).
“Sektor dengan aliran keluar bersih pelabur asing tertinggi iaitu, perkhidmatan kewangan(-RM96.6 juta), teknologi(-RM87.0 juta) dan pembinaan (-RM80.8 juta),” katanya.
Sementara itu, institusi tempatan meneruskan trend belian bersih untuk minggu ke-26, dengan aliran masuk sebanyak RM356.2 juta.
“Pelabur runcit pula menamatkan dua minggu berturut-turut belian bersih, menjadi penjual bersih dengan aliran keluar sebanyak RM25.7 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menurun secara menyeluruh iaitu pelabur asing sebanyak 48.7 peratus, institusi tempatan sebanyak 56.7 peratus manakala, pelabur runcit 47.2 peratus. – UTUSAN