Pasaran saham mendatar, masih jauh di bawah paras 1,500

Pasaran saham mendatar, masih jauh di bawah paras 1,500

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup hampir mendatar semalam, masih jauh di bawah paras 1,500 selepas menyaksikan kejatuhan sehingga 80 mata kelmarin, iaitu kejatuhan harian paling teruk sejak Mac 2008.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kembali melantun di awal dagangan semalam apabila menokok 7.63 mata kepada 1,451.43, sebelum ditutup lemah pada 1443.56, turun 0.24 mata.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 669 berban­ding 367, manakala 419 kaunter tidak berubah dan 894 kaunter tidak di­niagakan.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, berdasarkan prestasi Bursa Malaysia pagi Isnin, pastinya pasaran kewangan global memberi reaksi yang kurang baik terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menaikkan tarif import tanpa alasan yang konkrit.

Katanya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia jelas tidak dapat mengelak daripada keadaan pasaran yang mencabar.

“Kerajaan seharusnya sudah perlu menyuntik dasar mesra pasaran seperti insentif cukai kepada perniagaan dan mudah tunai yang lebih murah ke dalam ekonomi tempatan untuk merangsang pertumbuhan.

“Pelaburan dalam dan luar negara juga mesti diperbanyakan untuk memastikan kemampanan ekonomi Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, analisis harus dibuat pada bulan ini untuk menjangkakan betapa teruknya potensi ekonomi global yang akan bereaksi pada 2025.

“Adakah AS akan jatuh ke dalam kemelesetan atau hanya perlahan? Sebagai ekonomi terbesar di dunia, tindakan yang dilaksanakan oleh dasar kerajaan AS dan agensinya seperti Rizab Persekutuan (Fed) sudah tentu memberi impak yang mendalam kepada Malaysia dan pasaran global.

“Berdasarkan situasi semasa, perdagangan global akan menjadi perlahan kerana negara akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan dasar baharu AS. Justeru pastinya mencabar bagi Malaysia untuk mencapai sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5 hingga 5 peratus.

“Kemungkinan besar pertumbuhan ekonomi malaysia akan menjadi perlahan kerana semua orang sedang menyesuaikan diri dengan struktur perdagangan baharu, namun ia belum lagi membawa kepada kemelesetan ekonomi malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, Trump dilihat berada dalam ‘perangkap masa’.

“Beliau masih percaya pada masa lalu iaitu AS adalah polis dunia, pembuli terbesar dunia,dan ‘apabila helang bersin, semua orang mendapat selsema’.

“Sejauh mana kebenaran kepercayaannya? Beliau percaya beliau masih memegang Trump’card’, Trump’onomics’ beliau ialah alat terbaik, walaupun yang lain percaya beliau akan mencipta Trump’recession’ yang akan mengheret dunia ke arah Trump’depression’,” ujarnya.

Tambahnya, idea tarif Trump ialah pendekatan memutar lengan untuk memaksa syarikat berpindah ke AS, meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke AS, mewujudkan pekerjaan untuk AS dan lain-lain.

“Dinamik ekonomi dunia telah berubah, kita tidak pernah mempunyai pencabar kuasa besar ekonomi kepada AS. Kini kita mempunyai China. kita tidak pernah mempunyai blok ekonomi yang merentasi fahaman politik yang berbeza dan kini kita mempunyai BRICS (walaupun tidak berkembang sepenuhnya).

“Dunia perlu bertenang, tidak perlu panik, sebaliknya perlu menyusun strategi. Malaysia sebagai contoh, menerajui sebagai Pengerusi ASEAN, mengoptimumkan perdagangan intra ASEAN.

“Sebagai peneraju di kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mengoptimumkan perdagangan intra OIC, membawa ASEAN ke dalam perjanjian blok ke blok dengan China, Oceania, Kesatuan Eropah (EU) dan negara Afrika,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya