PETALING JAYA: MY E.G. Services Berhad (MYEG) menandatangani perjanjian dengan Guangxi Beitou IT Innovation Technology Investment Group Co., Ltd. (Beitou IT Innovation) menubuhkan makmal kecerdasan buatan (AI).
Kedua-dua pihak secara bersama akan membina pusat inovasi dan kerjasama AI Malaysia-China yang akan dikenali sebagai Makmal AI China-ASEAN Flagship, sekali gus merealisasikan visi kerajaan Malaysia dan China untuk bekerjasama dalam AI.
Di bawah kendalian MYEG, Makmal AI di Zetrix Tower, di sini akan melibatkan penyertaan peneraju dalam bidang masing-masing seperti Deepseek dari China, syarikat robotik dan dron DJI dan Leju Robot, Huawei Technologies, Alibaba Group serta penyedia perkhidmatan IT Malaysia, Heitech Padu Berhad dan lain-lain.
Sebagai sokongan kepada kejayaan usaha bersama ini, kerajaan Wilayah Guangxi telah memperuntukkan dana sebanyak RMB10 bilion (RM6.06 bilion) melalui dana pelaburan untuk menyokong pembangunan projek-projek seperti ini di bawah program China-ASEAN.
Pengarah Urusan Kumpulan MYEG, TS Wong berkata, gabungan teknologi blok rantai, robotik dan AI akan mencipta gelombang perkhidmatan baru dan MYEG berada dalam kedudukan terbaik untuk menawarkan produk canggih generasi seterusnya.
“Kami berharap dapat mengembangkan kerjasama ini ke negara-negara ASEAN yang lain,” katanya dalam kenyataan.
Perkhidmatan pertama yang akan diperkenalkan adalah pengiktirafan bersama untuk ID Digital nasional dari Malaysia dan China bermula dengan Wilayah Guangxi.
Perkhidmatan ini membolehkan warganegara Malaysia menggunakan MyDigital ID mereka untuk pelbagai keperluan pengesahan identiti di Wilayah Guangxi, terutamanya untuk keperluan KYC di institusi kewangan dan pelbagai tempat tarikan pelancong.
Pada masa sama, ID digital warganegara China akan diterima untuk pengesahan identiti di Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Beitou IT Innovation Group, Lai Shuiping berkata, kerjasama rapat dengan rakan-rakan dagang di China dan Malaysia, kumpulan yakin dapat meningkatkan produktiviti keseluruhan Malaysia dan ASEAN dengan memanfaatkan kuasa AI.
“Sebagai kumpulan teknologi digital terkemuka di Guangxi, kami berbangga dapat menghubungkan sumber AI China seperti LLM sumber terbuka, aplikasi AI dan bakat AI, dengan kes penggunaan AI di sektor awam dan swasta, industri serta akademik di Malaysia dan ASEAN,” katanya.
Seiring dengan penandatanganan Memorandum Persefahaman Kerajaan-ke-Kerajaan antara China dan Malaysia mengenai pembangunan AI, MYEG dan Beitou IT Innovation, sebuah syarikat milik penuh kerajaan Wilayah Guangxi telah dipilih untuk bersama-sama menubuhkan sebuah makmal G2G yang unik.
Ia mengumpulkan syarikat AI terkemuka dari China dan ASEAN untuk bersama-sama membangunkan produk AI tempatan dan untuk menggerakkan aplikasi merentas sempadan. – UTUSAN