Malaysia tidak terlibat perang tarif dengan AS - Utusan Malaysia

Malaysia tidak terlibat perang tarif dengan AS

ONN HAFIZ Ghazi (kiri) bersama-sama Gan Kim Yong (tengah) dan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Forum Perniagaan dan Pelaburan JS-SEZ di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Malaysia tidak akan melibatkan diri dalam perang tarif dengan Amerika Syarikat (AS), sebaliknya memilih jalan rundingan untuk mencapai ‘kemenangan’ bagi kedua-dua pihak.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, untuk mencapai perkara itu, pihaknya akan bertemu wakil pelaburan AS di Washington, Khamis ini.

Katanya, Malaysia dan negara ASEAN juga telah bersetuju untuk tidak memperkenalkan tarif balas.

“Malaysia komited mencapai penyelesaian yang dapat mengekalkan akses pasaran dan rantaian bekalan penting, menarik pelaburan asing berterusan serta menyokong kebajikan pekerja dan perniagaan kita.

“Daripada perspektif ASEAN, tindakan membalas tarif adalah tidak produktif. Sebaliknya, rantau ini berhasrat berinteraksi secara konstruktif dengan AS untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan menangani cabaran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, Johor merancang menubuhkan Taman Perindustrian ASEAN dalam kawasan JS-SEZ bagi merancakkan pemindahan teknologi, meningkatkan daya saing dan mempelbagai rantaian bekalan ke seluruh rantau ini.

Ujarnya, penubuhan taman perindustrian itu bertujuan menarik pelaburan strategik dari negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang memberi tumpuan dalam sektor bernilai tinggi seperti pembuatan berteknologi tinggi, teknologi hijau serta ekonomi digital.

“Kami berharap langkah ini dapat tawarkan insentif bersesuaian seperti pengecualian cukai, mempermudahkan pergerakan bakat serta kelonggaran sementara peraturan pemulangan dana, sekali gus menjadikannya lebih menarik kepada pelabur asing.

“Selain itu, Johor juga cadangkan ‘Johor Regulatory Sandbox’. Tujuannya untuk mewujudkan ekosistem ekonomi yang fleksibel dan terkawal bagi menguji teknologi, dasar dan model perniagaan inovatif, terutamanya dalam sektor baharu yang terhalang oleh peraturan sedia ada,” katanya.

Tambahnya, program tersebut adalah detik penting dan bersejarah, khususnya bagi kedua-dua negara, Malaysia dan Singapura.

“Kerjasama ini akan membentuk ekosistem perniagaan di rantau ASEAN dan meningkatkan hubungan, peluang perniagaan serta komuniti setempat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya