Malaysia terima dorongan dalam perdagangan, pelaburan - Utusan Malaysia

Malaysia terima dorongan dalam perdagangan, pelaburan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping di Kompleks Seri Perdana kelmarin. - GAMBAR PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perdagangan dan pelaburan negara menerima dorongan yang paling banyak melalui pelbagai perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Malaysia dan China, menunjukkan China menilai negara ini begitu tinggi dalam pelbagai aspek.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, MoU merangkumi bukan sahaja perdagangan tetapi juga pembangunan teknologi, pendidikan, pertahanan serta pelbagai lagi, melonjakkan lagi hubungan kedua negara ke tahap yang lebih tinggi dari sebelum ini.

Katanya, lawatan Presiden China, Xi Jinping sebenarnya telah lama dirancang, namun menjadi begitu kritikal saat negara dan dunia dicabar dengan perubahan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) oleh Presidennya, Donald Trump.

“China juga melihat Malaysia sebagai rakan yang sangat penting dan strategik di rantau ini, terutama kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN. Malaysia dilihat lebih daripada rakan dagang tetapi hubungan diplomatik yang kritikal untuk diakrabkan lagi terutama dalam hubungan geopolitik dunia yang berubah dengan pantas.

“Pemilihan Malaysia selain dari negara lain di rantau ini iaitu Vietnam dan Kemboja untuk dilawati Xi menunjukkan kelebihan Malaysia di mata China dalam hubungan antarabangsa,” katanya.

Kelmarin, Malaysia dan China memeterai 31 MoU yang merangkumi pelbagai bidang kerjasama strategik yang memanfaatkan kepentingan kedua-dua negara.

Kerjasama itu termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pelancongan dan pendidikan yang mana majlis pertukaran dokumen perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Xi sempena lawatan ke Malaysia.

Ketika ditanya mengenai manfaat pemindahan pengetahuan melalui beberapa perjanjian tersebut, Aimi Zulhazmi berkata, Malaysia perlu belajar bagaimana China membangunkan ekonomi dan teknologinya dalam masa yang singkat untuk menjadi antara yang termaju di dunia.

“Kita harus belajar daripada pelan tindakan China dalam mewujudkan budaya reka cipta yang kuat supaya negara boleh mencipta teknologi kita sendiri, menyelidik dan mengembangkan pengkomersialan penciptaan kita.

“Cukup sudah Malaysia hanya menjadi kilang memasang komponen oleh pelabur asing untuk berdekad lamanya. Kita perlu belajar dari China untuk mereka komponen kita sendiri.

“Peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mestilah mencapai lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bukannya tidak sampai satu peratus seperti yang sedia ada,” ujarnya.

Beliau berkata, walau apa tindakan balas AS kepada Malaysia sekiranya ada kesan daripada lawatan ini, negara haruslah bijak mengimbanginya.

“Pelaburan langsung asing (FDI) kita datang daripada syarikat multinasional AS dan rakan dagang terbesar kita adalah China. Justeru, kita harus rasional dalam hubungan dagang dan diplomatik dengan kedua-dua ekonomi terbesar dunia.

“Malaysia juga harus belajar diplomasi China untuk menyuarakan pendapat kita dengan lebih vokal di peringkat antarabangsa untuk melindungi hak kita dan rantau ASEAN amnya.

“Kepengerusian Malaysia di ASEAN tahun ini memberikan platform yang terbaik untuk kita meluaskan pengaruh di peringkat antarabangsa, iaitu memperjuangkan hak kita yang mustahak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya