Malaysia berpeluang rebut sebahagian pasaran eksport China di AS - Utusan Malaysia

Malaysia berpeluang rebut sebahagian pasaran eksport China di AS

MALAYSIA berpeluang merebut sebahagian pasaran eksport China ke Amerika Syarikat disebabkan tarif tinggi yang dikenakan terhadap China baru-baru ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China membuka ruang strategik kepada Malaysia untuk mengambil alih sebahagian pasaran eksport China ke negara kuasa besar itu.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan tarif yang tinggi oleh AS ke atas barangan dari China memberi kelebihan kepada negara-negara serantau seperti Malaysia, khususnya dalam sektor eksport seperti sarung tangan getah dan semikonduktor.

Bagaimanapun, menurut beliau, kelebihan ini tidak dapat dimanfaatkan secara menyeluruh dalam sektor semikonduktor kerana Malaysia ketika ini masih berperanan sebagai pengeluar perantara dalam rantaian bekalan global.

“Malaysia mengimport bahan semikonduktor dari AS, kemudian melakukan pemasangan dan pembungkusan di sini sebelum mengeksport semula ke AS.

“Produk ini tidak dikenakan cukai kerana ia dibeli semula oleh syarikat AS yang menggunakannya untuk menghasilkan produk akhir mereka di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, jika tarif dikenakan ke atas komponen tersebut, ia akan menyebabkan peningkatan harga barangan di pasaran AS dan memberi kesan kepada pengguna tempatan.

Dalam masa sama, beliau berkata, terdapat juga komponen dari Malaysia yang dieksport ke China untuk diproses menjadi barangan akhir sebelum dihantar ke AS.

“Namun, dengan pelaksanaan tarif tinggi terhadap barangan China, permintaan terhadap komponen dari Malaysia juga dijangka terjejas apabila kilang-kilang di China kehilangan akses ke pasaran AS.

“Jika China tidak lagi dapat mengeksport ke AS, mereka juga tidak akan membeli komponen dari Malaysia kerana tiada lagi pasaran untuk produk akhir mereka,” katanya.

Barjoyai berkata, ruang untuk pertumbuhan dalam sektor semikonduktor kekal terhad melainkan Malaysia mula menghasilkan produk akhir sendiri dan bukan sekadar menjadi penyedia perkhidmatan pemasangan.

Dalam sektor lain seperti sarung tangan getah, beliau berkata, Malaysia masih mempunyai kelebihan kerana pasaran eksport terbesar adalah AS dan produk berkenaan dikecualikan daripada tarif kerana ia adalah barangan keperluan yang sensitif dari segi harga.

“Untuk potensi jangka panjang, terdapat keyakinan beberapa syarikat pengilang dari China akan memindahkan operasi mereka ke Malaysia bagi mengelakkan tarif tinggi yang dikenakan oleh AS.

“Jika kilang berpindah ke Malaysia, kita bukan sahaja akan terus menghasilkan semikonduktor, malah berpeluang mengeluarkan barangan akhir dan mengeksport terus ke AS.

“Ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak kerana kadar cukai yang dikenakan ke atas Malaysia adalah lebih rendah berbanding China,” katanya.

Tambahnya, untuk benar-benar menggantikan peranan China dalam rantaian eksport global, syarikat-syarikat China perlu membuka kilang dan mengilang di Malaysia, bukan sekadar mengimport komponen dari sini.

“Jika kita masih hanya menghantar komponen ke China dan mereka terus mengeksport ke AS, peluang ini tidak akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat tempatan.

“Pada masa ini, Malaysia belum mempunyai kapasiti penuh untuk menghasilkan barangan akhir seperti telefon pintar, komputer dan produk elektronik lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya