SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) masih mengenal pasti keluarga asnaf yang terjejas dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, bagaimanapun, pihaknya telah turun padang menyerahkan bantuan RM500 kepada 300 keluarga terjejas sebagai bantuan bencana awal.
“Bagaimanapun, dalam bantuan bencana tersebut kami juga akan mengkaji semula untuk melihat keperluan lain,” katanya pada sidang akhbar pengumuman kutipan dan agihan zakat 2024 dan Pelancaran Laporan Kelestarian LZS di sini hari ini.
Setakat ini, seramai 166 asnaf dalam kariah terlibat insiden kebakaran letupan gas.
Beliau memaklumkan, pihaknya masih menjejaki asnaf yang terjejas berikutan pihak LZS menerima senarai nama yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Hal ini kerana terdapat mangsa yang tidak berdaftar dengan PPS kerana tinggal di rumah keluarga dan saudara terdekat.
“Setakat ini, kami sedang menunggu data tersebut untuk menghulurkan bantuan,” katanya.
Kebakaran 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong. – UTUSAN