KUALA LUMPUR: Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) dijangka dapat menarik pelaburan berjumlah RM72 bilion (€15 bilion) dalam tempoh 25 tahun akan datang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan LuMIC dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 25 tahun dan berpotensi mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan, di samping membuka ruang baharu kepada usahawan serta peniaga tempatan.
Katanya, LuMIC turut memperkukuh infrastruktur awam termasuk sistem pengangkutan dan kemudahan pendidikan, yang secara langsung meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Menerusi kawasan seluas 9,307.7 hektar dan pelaburan berjumlah €15 bilion atau RM72 bilion, LuMIC merangkumi pelabuhan bertaraf antarabangsa, zon perindustrian mesra alam dan bandar pintar yang lestari.
“LuMIC juga dijangka memberi impak positif kepada sektor perkhidmatan seperti pelancongan dan peruncitan serta berupaya meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya pada majlis perbentangan Pelan Induk LuMIC di Pusat Dagangan Dunia di sini semalam.
Hasil kajian kebolehlaksanaan projek LuMIC yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah kini membolehkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), bersama rakan kerjasama Port of Antwerp-Bruges International (PoABI), menyediakan cadangan pembangunan dan pelan induk projek tersebut.
Saarani berkata, pihaknya yakin pelabur tempatan mahupun antarabangsa melihat potensi besar negeri Perak sebagai destinasi pelaburan masa depan, khususnya bagi projek-projek berimpak tinggi dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Menurutnya, LuMIC juga berupaya menangani cabaran global melalui pendekatan lestari seperti pengurangan karbon, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta pembentukan rantaian bekalan yang berdaya tahan.
“Pada masa yang sama, projek ini menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menjadikan Perak antara pelopor kemampanan maritim di ASEAN.
“Selain menarik pelaburan dan pemain logistik global, LuMIC juga dijangka merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) inovatif, sekali gus mewujudkan kesan limpahan ekonomi di seluruh negeri,” ujarnya. – UTUSAN