Kerajaan akan berunding dengan AS hujung April - Utusan Malaysia

Kerajaan akan berunding dengan AS hujung April

ngan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berucap merasmikan Perbincangan Panel: Negara yang Mencipta Melalui Pemangkinan Ekosistem ketika Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan perjumpaan dengan pihak Amerika Syarikat (AS) untuk berunding mengenai tarif balas sebanyak 24 peratus yang dikenakan terhadap Malaysia pada hujung April ini, kata Menteri Kewangan II.

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun tindak balas tersebut mengejutkan, Malaysia mengambil pendekatan berhemah dan tidak reaktif dalam menghadapi situasi ini.

“Yang lebih penting, kerajaan menekankan keperluan untuk memahami sepenuhnya impak serta isu-isu yang dibangkitkan oleh dasar tarif berkenaan.

“Pendekatan ini diambil agar perbincangan bersama pihak AS dapat dilakukan dengan baik, demi mencari penyelesaian yang lebih mampan dan hasil yang lebih menguntungkan untuk kedua-dua pihak.

“Buat masa ini, kami menyeru agar semua pihak bertenang. Tiada keperluan untuk panik kerana kita akan tangani perkara ini secara tersusun dan bijaksana.

“Kemungkinan besar kami akan berada di sana AS hujung April,” katanya ketika sesi Dialog Menteri yang membincangkan dasar makro struktur ASEAN di sini, hari ini.

Selain rundingan dengan AS, beliau berkata, Malaysia juga akan terus memperkukuh kerjasama serantau di bawah rangka ASEAN serta meneroka peluang perdagangan baru bersama rakan dagang seperti Kesatuan Eropah, Amerika Latin dan Amerika Selatan.

“Langkah ini dilihat sebagai strategi jangka panjang untuk mempelbagaikan perdagangan negara dan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pasaran tunggal.

“Kerajaan komited untuk memperjuangkan prinsip perdagangan bebas dan adil, serta memastikan kepentingan negara terus dipelihara dalam sebarang rundingan perdagangan antarabangsa.

“Saya rasa penting untuk kita sedar bahawa negara-negara ASEAN mempunyai tahap pembangunan yang berbeza dan juga kadar tarif yang berbeza yang telah dikenakan.

“Tetapi perkara yang menyatukan kita semua adalah penerimaan secara asas bahawa perdagangan bebas adalah matlamat bersama yang kita semua mahu capai,” ujarnya.

Dalam sesi dialog tersebut, Amir Hamzah berkata, berikutan cabaran yang ditimbulkan oleh tarif itu, Malaysia perlu menentukan cara terbaik untuk menangani kerumitan baharu ini.

Beliau berkata, kepelbagaian pasaran dan integrasi yang lebih baik dalam ASEAN memberikan Malaysia keupayaan untuk membina daya tahan di samping mewujudkan mekanisme yang lebih berdikari dan berdaya tahan.

“Dalam kerangka ekonomi Madani, kita sedang menggerakkan entiti pelaburan berkaitan kerajaan untuk menyusun semula keutamaan pelaburan tertentu di dalam negara.

“Itu mewujudkan enjin pertumbuhan yang berbeza yang sebenarnya boleh merangsang dan menjadi penampan ketika berdepan cabaran sementara ini,” ujarnya.

Sementara itu Menteri Pengangkutan dan Menteri Kedua Kewangan Singapura, Chee Hong Tat menggesa supaya percepatkan langkah kerjasama dan penyepaduan perdagangan membabitkan negara dalam ASEAN.

Katanya, cadangan berkenaan telah dibincangkan sekian lama dan mungkin sebelum ini semua pihak merasakan bahawa kita masih mempunyai masa, boleh berbincang dan mengambil langkah secara berperingkat.

“Tetapi dengan kejutan yang datang bersama pelaksanaan tarif ini, saya rasa kita mesti ada rasa mendesak yang lebih tinggi untuk menggunakan situasi ini sebagai pemangkin untuk menggerakkan rakyat, syarikat-syarikat.

“Ini supaya mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, termasuk melonggarkan peraturan, mengurangkan halangan perdagangan dan bukan perdagangan, dan mempercepatkan proses integrasi.

“Dan jika bukan sekarang, bila lagi? Jadi saya amat berharap kita dapat bekerjasama dengan lebih erat dalam hal ini. Memang sukar kadangkala untuk mendapatkan kesemua negara ASEAN menyertai pada masa yang sama, kerana sesetengah negara mungkin berada pada tahap pembangunan yang berbeza.

“Tetapi itu tidak bermaksud kita tidak boleh mulakan dengan projek dua hala atau melalui gabungan beberapa negara anggota ASEAN terlebih dahulu. Kita boleh mula dahulu, jayakan projek ini dan negara-negara lain boleh menyertai kemudian apabila sudah bersedia,” katanya.

Tambahnya, salah satu contoh yang beliau rasa wajar diberikan perhatian besar ialah grid kuasa ASEAN.

“Antara Singapura, Malaysia dan Indonesia, saya rasa kita sedang bekerjasama dengan rapat dalam hal ini. Inisiatif ini sangat penting kerana ia boleh membantu semua negara ASEAN mencapai tahap kesalinghubungan dan daya tahan tenaga yang lebih baik, kerana kita saling menyokong antara satu sama lain.

“Dan yang tidak kurang penting juga, ia boleh menggalakkan dagangan tenaga yang seterusnya dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam pilihan tenaga bersih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya