PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2025 dijangka pada kadar 4.5 peratus berbanding sama tahun sebelumnya 5.0 peratus dengan prospek setahun penuh turut disemak turun kepada 4.0 peratus daripada 5.0 peratus sebelumnya.
CIMB Research berkata, keputusan ini turut mengambil kira risiko ketara daripada tindakan balas tarif oleh Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan pada 2 April lalu.
“Walaupun tempoh tangguh selama 90 hari telah diberikan untuk rundingan perdagangan, ketidaktentuan hasil perbincangan masih membayangi prospek pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan dijangka mempertimbangkan langkah-langkah sokongan fiskal dan monetari pada separuh kedua tahun ini bagi merangsang pertumbuhan dan mengimbangi risiko luaran,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu berkata, petunjuk ekonomi bagi tempoh Januari hingga Februari 2025 menunjukkan perlahan ketara dalam pertumbuhan, didorong oleh penurunan dalam pengeluaran perindustrian (IPI).
“Pertumbuhan IPI merosot kepada +1.8 peratus tahun ke tahun berbanding 3.4 peratus pada suku ke empat 2024, disebabkan terutamanya oleh pengeluaran perlombongan dan penjanaan elektrik yang lemah.
“Perdagangan borong dan runcit juga menunjukkan pertumbuhan lebih perlahan 3.9 peratus tahun ke tahun berbanding 4.4 peratus tahun ke tahun suku keempat 2024, dengan jualan borong dan kenderaan bermotor yang lebih rendah, walaupun jualan runcit menerima rangsangan bermusim sempena perayaan,” katanya.
Sementara itu, CIMB Research berkata, jualan runcit meningkat sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada Feb 2025 , mencerminkan penstabilan perbelanjaan pengguna selepas sambutan Tahun Baru Cina.
“Pertumbuhan menurun dalam kebanyakan segmen runcit utama, namun masih mencatatkan peningkatan, termasuk kedai tidak khusus, +5.9 peratus tahun ke tahun, peralatan isi rumah 4.6 peratus, kedai khusus: +5.5 peratus tahun ke tahun.
“Malah, jualan kenderaan bermotor kembali pulih ke wilayah positif dengan pertumbuhan +1.5 peratus tahun ke tahun (Januari 2025, -9.1 peratus tahun ke tahun), didorong oleh lonjakan pendaftaran baharu selepas cuti dan kesan asas rendah daripada penurunan ketara bulan sebelumnya.
“Sementara itu, pertumbuhan perdagangan borong pula meningkat kepada +5.3 peratus tahun ke tahun (Januari 2025, +4.9 peratus), dipacu oleh prestasi kukuh dalam segmen jentera dan peralatan serta makanan, minuman dan tembakau,”katanya.
Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berpendapat, KDNK dijangka akan terkesan
akibat polisi tarif yang tidak menentu.
“Saya juga menganggarkan KDNK tahun ini pada 3.9 hingga 4.2 peratus malah, berkemungkinan polisi tarif lebih jelas dlm suku ketiga 2025,” katanya.- UTUSAN