Jualan sektor pembuatan cecah RM153.1 bilion pada Februari - Utusan Malaysia

Jualan sektor pembuatan cecah RM153.1 bilion pada Februari

PERTUMBUHAN IPP didorong oleh peningkatan 4.9 peratus dalam sektor pembuatan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 4.7 peratus kepada RM153.1 bilion pada Februari 2025 berbanding 3.5 peratus pada Januari, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan nilai jualan sektor pembuatan dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang merekodkan pertumbuhan memberangsangkan 14.6 peratus pada Februari berbanding 10.5 peratus pada bulan sebelum.

Ini diikuti dengan subsektor peralatan elektrik dan elektronik, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam, masing-masing pada 7.7 peratus berbanding 7.3 peratus pada Januari dan 4.4 peratus berbanding 2.1 peratus pada Januari.

“Perbandingan dengan bulan sebelumnya, nilai jualan berkurang sebanyak 3.2 peratus kepada RM153.1 bilion berbanding RM158.1 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.1 peratus daripada jumlah jualan, berkembang 5.9 peratus pada Februari daripada 5.1 peratus pada Januari.

“Pengembangan disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan sebanyak 18.3 peratus berbanding 11.1 pertaus pada Januari.

“Selain itu, pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal turut meningkat sebanyak 7.8 peratus daripada 7.7 peratus pada bulan sebelumnya, sementara pembuatan produk getah bertumbuh 8.4 peratus berbanding 8.9 peratus pada Januari,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, industri berorientasikan domestik turut bertumbuh sebanyak 2.1 peratus pada Februari 2025, setelah mencatatkan kenaikan marginal 0.1 peratus pada Januari.

“Prestasi ini disebabkan oleh peningkatan tahun ke tahun dalam pembuatan produk pemprosesan makanan yang kekal meningkat pada 11.3 peratus berbanding 10.4 peratus pada Januari.

“Ini diikuti dengan pembuatan produk logam kecuali mesin dan kelengkapan (5.5 peratus)bdan pembuatan logam asas (5.2 peratus). Perbandingan bulan ke bulan, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing susut sebanyak 3.2 peratus dan 3.1 peratus,” ujarnya.

Mengulas mengenai bilangan pekerja, beliau berkata, seramai 2.39 juta orang terlibat dalam sektor itu pada Februari 2025, bertambah 1.2 peratus daripada 0.9 peratus pada Januari.

“Pertambahan ini didorong terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (2.2 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.7 peratus) serta peralatan elektrik dan elektronik (1.2 peratus).

“Perbandingan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor ini berkurang 0.1 peratus.

“Pada masa yang sama, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan 2.0 peratus daripada 1.5 peratus pada Januari, berjumlah RM8.4 bilion pada Februari 2025. Perbandingan bulan ke bulan, gaji dan upah yang dibayar susut 0.8 peratus.

“Seterusnya, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat kepada RM63,961 (3.5 peratus), manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,513, meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Tambahnya, sepanjang dua bulan pertama tahun ini (Januari dan Februari 2025), nilai jualan bagi sektor pembuatan adalah berjumlah RM311.2 bilion, meningkat sebanyak 4.1 peratus berbanding 1.9 peratus tempoh yang sama 2024.

“Bilangan pekerja menokok sebanyak 1.2 peratus kepada 2.39 juta orang, manakala gaji dan upah meningkat 1.8 peratus kepada RM16.9 bilion dengan nilai jualan bagi setiap pekerja berjumlah RM130,009 tumbuh 2.9 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya