Jualan perdagangan borong dan runcit RM148.3 bilion pada Februari - Utusan Malaysia

Jualan perdagangan borong dan runcit RM148.3 bilion pada Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM148.3 bilion pada Februari, merekodkan pertumbuhan 5.1 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan jualan bagi Februari didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong.

Katanya, perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM65.2 bilion, peningkatan RM3.6 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.9 peratus.

“Perdagangan borong pula mencatatkan jumlah jualan RM65.5 bilion, meningkat RM3.3 bilion, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.3 peratus.

“Pada tempoh yang sama, subsektor kenderaan bermotor merekodkan jualan berjumlah RM17.6 bilion, peningkatan RM0.3 bilion atau 1.5 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir menekankan bahawa pertumbuhan dalam subsektor perdagangan runcit disokong oleh prestasi kukuh pelbagai kategori.

“Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan meningkat 5.9 peratus kepada RM25.0 bilion, manakala jualan runcit di kedai pengkhususan mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus, mencapai RM13.8 bilion pada Februari 2025.

“Pada masa yang sama, jualan runcit barangan isi rumah meningkat 4.6 peratus kepada RM7.4 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan permintaan terhadap bahan binaan dan produk perkakasan. Peningkatan dalam aktiviti runcit ini disokong oleh pembelian barangan keperluan menjelang ramadan dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Selain itu, jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi meningkat 8.6 peratus kepada RM2.9 bilion.

“Pertumbuhan ini didorong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi bagi kelengkapan persekolahan sempena sesi akademik baharu yang bermula pada pertengahan Februari,” katanya.

Dalam tempoh yang sama, Mohd. Uzir berkata, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan peningkatan jualan berbanding Februari tahun lalu, disokong oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang meningkat 2.7 peratus kepada RM5.0 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang bertumbuh 8.2 peratus kepada RM1.2 bilion.

“Jualan kenderaan bermotor turut menyumbang kepada kenaikan dalam kumpulan ini dengan peningkatan positif 0.2 peratus kepada RM8.9 bilion.

“Trend yang sama turut dilaporkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mencatatkan 67,327 pendaftaran kenderaan, meningkat berbanding 66,935 pendaftaran pada bulan yang sama setahun yang lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya