Hartanah Kenyalang meterai taja jamin bersama TA Securities - Utusan Malaysia

Hartanah Kenyalang meterai taja jamin bersama TA Securities

SEAH Boon Tiat (tiga dari kiri) telah menandatangani perjanjian penjaminan bagi pihak Hartanah Kenyalang Berhad, manakala TA Securities Holdings Berhad telah ditandatangani oleh Ku Mun Fong (empat dari kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartanah Kenyalang Berhad (Hartanah Kenyalang) menandatangani perjanjian dengan TA Securities bagi menaja jamin sejumlah 49.6 juta saham baharu untuk penyenaraian awal syarikat (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).

Hartanah Kenyalang menyasarkan untuk menyenaraikan keseluruhan modal saham terbitan yang diperbesar berjumlah 620 juta saham biasa di Pasaran ACE menjelang suku kedua tahun 2025.

Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang, Seah Boon Tiat berkata, pemeteraian bersama TA Securities bukan sahaja menunjukkan keyakinan terhadap syarikat, tetapi juga membawa selangkah lebih dekat ke arah IPO.

“Ini adalah masa yang tepat memandangkan kami bersedia untuk merebut peluang besar dalam industri pembinaan di Sarawak.

“Di bawah Belanjawan Sarawak 2025, kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan asas untuk meningkatkan kesalinghubungan dan aksesibiliti.

“Pembangunan infrastruktur di Sarawak, termasuk pembinaan jalan raya dan jambatan, memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Untuk 2025, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM10.9 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, di mana kira-kira RM1 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan dan menyiapkan pelbagai projek jalan dan jambatan,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, dengan latar belakang prospek pertumbuhan sektor pembinaan di Sarawak, syarikat merancang menggunakan sebahagian daripada hasil IPO untuk membeli enam unit jentera penggali baharu bagi menggantikan jentera lama serta meningkatkan kapasiti dan produktiviti kerja pembinaan.

“Di samping itu, kami juga merancang untuk meluaskan perkhidmatan syarikat kepada penawaran reka bentuk dan bina bagi segmen pembinaan bangunan serta pembinaan infrastruktur dengan melabur dalam sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), yang mampu mendigitalkan pelbagai aspek projek pembinaan melalui model tiga dimensi,” katanya.

IPO Hartanah Kenyalang melibatkan tawaran awam sebanyak 198.4 juta saham biasa, merangkumi terbitan awam sebanyak 120.9 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 77.5 juta saham sedia ada yang secara keseluruhannya mewakili 32.0 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesar kepada 620 juta saham biasa.

Daripada 120.9 juta saham baharu itu, sebanyak 31.0 juta saham akan diperuntukkan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia, manakala 18.6 juta saham akan diperuntukkan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja Kumpulan yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan.

Baki 71.3 juta saham baharu akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities, Ku Mun Fong berkata, perjanjian penajamian itu menzahirkan komitmen TA Securities untuk bersama dalam perjalanan pertumbuhan Hartanah Kenyalang.

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada IPO dan penyenaraian Hartanah Kenyalang di Pasaran ACE Bursa Malaysia. IPO ini merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat ini.

“Syarikat ini mempunyai kelebihan daya saing dan kehadiran pasaran yang kukuh di Sarawak, dengan sebahagian besar pendapatan diperoleh daripada projek pembinaan yang diberikan oleh kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan Persekutuan.

“Ini termasuk pembinaan sekolah, bangunan awam, jambatan dan jalan. Maka itu, perbelanjaan berterusan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan serta entiti separa kerajaan dijangka memberi sumbangan positif kepada operasi perniagaan dan prestasi kewangan kumpulan.

“Kami percaya Hartanah Kenyalang mempunyai asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depannya,” ujarnya.

Tawaran untuk jualan sebanyak 77.5 juta saham sedia ada juga akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenalpasti dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya