PETALING JAYA: TA Securities Holdings Bhd. (TA Securities) mengekalkan saranan ‘neutral’ kepada sektor perladangan dengan ramalan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tidak berubah sebanyak RM3,800 setan untuk 2025.
Walau bagaimanapun, firma pembrokeran itu melihat beberapa risiko penurunan permintaan dan sentimen yang lebih lemah pada masa hadapan.
TA Securities berkata, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Mac menunjukkan peningkatan dalam simpanan minyak sawit Malaysia buat kali pertama selepas penurunan lima bulan berturut-turut.
“Peningkatan ini didorong oleh pengeluaran dan import yang lebih tinggi, ditambah pula dengan eksport yang lemah. Secara khusus, simpanan minyak sawit meningkat 3.5 peratus bulan ke bulan, mencecah 1.56 juta tan pada bulan Mac, yang sejajar dengan jangkaan pasaran.
“Pemulihan yang kukuh dalam pengeluaran menyumbang kepada peningkatan ini, meningkat 16.8 peratus bulan ke bulan kepada 1.39 juta tan, walaupun sebahagian besarnya kekal tidak berubah pada asas tahun ke tahun,” katanya dalam nota penyelidikan.
TA Securites berkata, import melonjak sebanyak 82.5 peratus bulan ke bulan kepada 121,900 tan, manakala penggunaan domestik meningkat 36.9 peratus bulan ke bulan kepada 450,500 tan, mungkin didorong oleh pembelian perayaan menjelang Ramadhan.
“Walau bagaimanapun, eksport kekal lemah, meningkat hanya 0.9 peratus kepada 1.0 juta tan, meleset daripada jangkaan pasaran sebanyak 1.02 hingga 1.07 juta tan.
“Secara keseluruhan, kami melihat ini sebagai tanda menurun kepada prospek harga MSM untuk baki tahun 2025,” ujarnya.
Firma berkata, pengeluaran MSM dari awal tahun sehingga kini menurun sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun kepada 3.82 juta tan dan eksport menurun sebanyak 14.2 peratus tahun ke tahun kepada 3.18 juta tan.
“Sebaliknya, penggunaan domestik meningkat sebanyak 4.7 peratus tahun ke tahun kepada 1.1 juta tan dan import lebih tiga kali ganda kepada 277,000 tan,” jelasnya.
Oleh itu, TA Securities mengurangkan harga kepada pendapatan (PE) sektor sebanyak satu kali hingga 17 kali dan memperoleh harga sasaran baharu untuk syarikat di bawah liputannya.
“Kami menurunkan taraf FGV Holdings Berhad dengan harga sasaran (TP) RM1.03 kepada ‘jual’ daripada ‘pegang’ dan Kim Loong Resources Bhd (TP: RM2.31) kepada ‘pegang’ (daripada beli).
“Sebaliknya, kami menaik taraf SD Gutherie Bhd (TP: RM4.79) dan TSH Resources Berhad (TP: RM1.14) kepada ‘pegang’ (dari jual), dan IOI Corporation Bhd (TP: RM3.94) kepada ‘beli’ (dari pegang) berikutan penurunan mendadak dalam harga saham,” katanya.
Sementara itu, Public Investment Bank berkata, produk MSM dipacu tarif berkemungkinan menyebabkan pengeluar makanan AS menggantikan MSM dengan harga alternatif domestik yang lebih kompetitif iaitu minyak kacang soya yang tertakluk kepada tarif 84 peratus besar-besaran di China (China menyumbang 52 peratus eksport) mulai 10 April.
“Walaupun terdapat penangguhan 90 hari pada tarif timbal balik, eksport minyak sawit Malaysia masih tertakluk kepada tarif 10 peratus sejagat.
“Pada pandangan kami, tarif ini mungkin diterjemahkan kepada kos yang lebih tinggi untuk pengguna AS,” ujarnya.
Dari segi positif, bank pelaburan berkata, AS adalah pasaran yang agak kecil untuk produk MSM (kebanyakannya dalam lemak khusus), menyumbang hanya 2.4 peratus daripada penggunaan minyak sawit global.
“Pada 2024, Malaysia hanya mengeksport 191,000 tan MSM ke AS, membentuk hanya 10 peratus daripada import MSM AS dan 1.1 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia,” ujarnya.–UTUSAN