PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal stabil di atas RM4,000 per tan dan tidak menjejaskan pendapatan pekebun kecil, meskipun Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 24 peratus terhadap produk Malaysia menerusi mekanisme tarif balas.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, walaupun tarif timbal balik tinggi oleh AS boleh mengurangkan permintaan minyak sawit di negara tersebut, penurunan ini dijangka dapat diimbangi oleh permintaan dari negara lain seperti China dan India.
“Negara mengeksport lebih 80 peratus daripada pengeluaran minyak sawitnya, menjadikan harga MSM sensitif kepada faktor luaran seperti dasar percukaian, spekulasi pasaran global, serta perubahan penawaran dan permintaan.
“Namun, harga MSM kini melebihi RM4,000 per tan, dipengaruhi oleh permintaan yang lebih tinggi.
“Oleh itu, harga MSM dijangka kekal stabil di atas RM4,000, selagi Malaysia dan Indonesia tidak meningkatkan pengeluaran serta sekali gus ia tidak akan menjejaskan pendapatan pekebun kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, tarif tersebut dipercayai berpunca daripada penilaian menyeluruh pentadbiran AS terhadap akses pasaran Malaysia secara keseluruhan, termasuk tarif sedia ada, sekatan bukan tarif dan faktor perdagangan lain.
“AS menyatakan angka ‘sekatan’ sebanyak 47 peratus sebagai sebahagian daripada pendekatan penanda aras dalaman mereka.
“Namun begitu, Malaysia masih berada pada kedudukan lebih baik berbanding Indonesia dan Thailand yang masing-masing dikenakan tarif lebih tinggi, iaitu 32 peratus dan 36 peratus.
“Cabaran lebih besar datang daripada keperluan bersaing dengan minyak kacang soya (SBO) keluaran AS sendiri yang mempunyai kos pengeluaran lebih rendah dan kelebihan dari segi infrastruktur tempatan.
“Jurang harga antara minyak sawit dan SBO dijangka melebar dan ini boleh menyebabkan pembeli yang sensitif terhadap harga memilih alternatif lebih murah, sekali gus menekan margin keuntungan pengeluar Malaysia dan mengurangkan permintaan terhadap minyak sawit tempatan,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, minyak sawit masih diperlukan oleh beberapa industri utama di AS seperti roti, konfeksi, penjagaan diri dan aplikasi industri kerana sifat uniknya yang sukar diganti.
“Justeru, walaupun berdepan tarif baharu, minyak sawit Malaysia kekal relevan.
“MPOB juga menyambut baik keputusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk meneruskan rundingan serta tidak mengambil tindakan balas terhadap AS,” katanya. – UTUSAN