PETALING JAYA: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) mencatat sejarah apabila menerima ketibaan kumpulan komersial pertama terdiri daripada 2,500 ekor lembu betina dari Chile ke ladang tenusunya di F&N AgriValley, Gemas, Negeri Sembilan.
Langkah ini menyusuli kejayaan kumpulan percubaan sebelum ini serta lawatan rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan ke fasiliti tersebut pada 11 April lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe, ketibaan lembu-lembu tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam usaha membangunkan masa depan industri tenusu Malaysia.
“Peristiwa ini juga menyaksikan pengimportan lembu sulung Malaysia dari Chile.
“Lembu-lembu Chilean Holstein ini telah diuji 100 peratus secara genomik dan mempunyai Indeks Prestasi Keseluruhan Genomik (GTPI) yang setanding dengan standard prestasi lembu betina yang pada asalnya kami rancang untuk diimport dari Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata, lembu-lembu ini dibawa dari Santiago, Chile menggunakan kapal pengangkut ternakan dengan pelayaran yang dirancang dengan teliti.
Pengarah Urusan Pertanian dan Ladang Tenusu di F&NHB, Dr. Yap Peng Kang berkata, di sepanjang perjalanan, lembu-lembu ini berada di bawah jagaan pengendali ternakan khas yang memastikan kesejahteraan ternakan dengan memantau kesihatan, pemakanan dan keselesaan mereka di atas kapal.
“Kapal-kapal tersebut telah dipasang dengan tahap pengudaraan seperti yang disyorkan dan disediakan dengan makanan dan minuman yang mencukupi bagi meminimumkan tekanan serta mengekalkan persekitaran yang optimum bagi lembu-lembu berkenaan,” katanya.
Jelas Yap, setibanya di Pasir Gudang, kesemua lembu-lembu tersebut telah diturunkan dengan selamat dan dipindahkan ke rumah baharu mereka di F&N AgriValley dalam masa tiga hari.
Yap terus menekankan sokongan kritikal agensi utama di Pasir Gudang, Johor.
“Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Johor Port Berhad dan kesemua pihak berkuasa yang memastikan
perjalanan selamat dan pemindahan lancar ternakan kami ke F&N AgriValley.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memastikan lembu betina yang diimport memenuhi piawaian biosekuriti Malaysia yang ketat melalui pensijilan kesihatan dan langkah pencegahan penyakit yang rapi,” katanya.
Di samping itu, jelasnya, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) memudahkan proses pengimportan yang lancar dengan memastikan pematuhan penuh peraturan import.
“Gabungan kepakaran mereka telah memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan lembu betina dan memastikan kejayaan usaha pengimportan ini.
“Dalam memastikan komitmen kami terhadap piawaian kesihatan ternakan dan biosekuriti yang tinggi, saya berbesar hati untuk berkongsi berita yang lembu-lembu tersebut berada dalam keadaan sihat dan kini akan menjalani tempoh kuarantin wajib di fasiliti kuarantin di tapak terbesar di negara ini untuk satu kelompok ternakan.
“Lembu-lembu ini ditempatkan di F&N AgriValley di dalam bangsal terkini yang dilengkapi sistem kawalan persekitaran pintar untuk memberi keselesaan optimum bagi ternakan kami,” katanya. – UTUSAN