PETALING JAYA: Fibromat Berhad, penyedia perkhidmatan geoteknikal dan kejuruteraan pakar menyasarkan RM17.8 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia membabitkan terbitan 248.3 juta saham biasa pada harga 55 sen sesaham.
Syarikat dijangka disenaraikan pada 8 Mei ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Fibromat, Ng Kian Boon berkata, syarikat telah mengalami perubahan dan pertumbuhan ketara sepanjang enam tahun dalam industri penyelesaian geoteknikal dan kejuruteraan khusus.
“Kami teruja akan melangkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan korporat kami, iaitu merealisasikan impian untuk menjadikan Fibromat sebuah syarikat tersenarai awam di Pasaran ACE.
“Kami bercadang untuk memperluaskan penawaran produk erosion control blanket dengan membeli dua unit mesin jahit yang boleh menghasilkan erosion control blanket berasaskan guni (jute), serta empat unit penapis habuk (multi-filter bags dust collectors) lengkap dengan sistem saluran udara yang akan disambungkan kepada mesin jahit tersebut.
“Kami juga ingin meningkatkan keupayaan dalaman dengan memasukkan kerja pemasangan Drain Vertikal Prefabrikasi (PVD) melalui penubuhan pasukan pemasangan PVD serta pembelian lima unit jengkaut hidraulik,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran prospektus Fibromat Berhad di sini, semalam.
Menurut prospektus, sebanyak RM7.6 juta atau 42.6 peratus akan diperuntukkan untuk pembelian mesin, RM6.7 juta (37.8 peratus) untuk keperluan modal kerja dan RM3.5 juta (19.6 peratus) untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
“Dengan dana RM17.8 juta yang bakal dikumpul daripada IPO, Fibromat merancang untuk menggunakan kira-kira RM7.6 juta daripada hasil IPO bagi membeli mesin baharu untuk dipasang di kilang di Rasa, Selangor.
“Syarikat juga akan mengukuhkan kehadiran pasaran di Sabah selepas berjaya menembusi pasaran tersebut bagi kerja reka bentuk dan pemasangan di Sabah pada tahun 2017,” katanya.
Pelaksanaan IPO Fibromat merangkumi terbitan awam sebanyak 32.3 juta saham baharu, mewakili 13 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, serta tawaran untuk jualan sebanyak 24.8 juta saham sedia ada atau 10 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan.
Permohonan awam bagi saham IPO ini dibuka hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang pada 25 April 2025.
M & A Securities Sdn. Bhd. merupakan penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO tersebut. – UTUSAN