Diplomasi ekonomi Malaysia perlu lebih agresif

Diplomasi ekonomi Malaysia perlu lebih agresif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia diseru untuk beralih daripada pendekatan pasif kepada strategi diplomasi ekonomi yang lebih agresif, selari dengan kedudukannya sebagai antara ekonomi paling terbuka di Asia Tenggara dan Pengerusi ASEAN tahun ini.

Pengarah penyelidikan Economic Club Kuala Lumpur (ECKL), Dr. Anthony Dass berkata, Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang daripada perjanjian perdagangan serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi memperkukuh kedudukan dalam perdagangan global.

Jelasnya, landskap perdagangan antarabangsa ketika ini sedang mengalami perubahan besar susulan penjajaran semula rantaian bekalan, polarisasi geopolitik dan ketidaktentuan dasar negara-negara kuasa besar.

“Dalam situasi ini, pendekatan diplomasi yang aktif dan berpaksikan kepentingan nasional adalah penting.

“Malaysia tidak boleh terus berperanan sebagai pengambil harga. Kita perlu menjadi penetap peranan, terutamanya apabila kita mempengerusikan ASEAN tahun ini.”

“Negara ini juga perlu menjadi jurucakap kepada negara-negara membangun yang mahukan perdagangan bebas dan adil,” kata seorang penganalisis ekonomi kanan,” katanya semasa pembentangannya di meja bulat anjuran Bursa Malaysia, ECKL dan CIMB di sini hari ini.

Anthony berkata, negara-negara jiran seperti Vietnam telah jauh ke hadapan dengan pendekatan agresif dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas dan Malaysia perlu mengejar serta tidak boleh berpuas hati dengan status quo.

“Ekonomi Malaysia perlu dimantapkan melalui pelaksanaan dasar berasaskan fakta, bukan reaksi semata-mata.

“Malaysia juga disarankan mempercepatkan pembangunan zon ekonomi khas dengan konsep “build, plug and play” bagi menarik pelabur asing dalam sektor strategik.

“Perjanjian seperti RCEP dan CPTPP ini membuka pasaran yang luas kepada barangan dan perkhidmatan Malaysia, namun sehingga kini, manfaat penuh daripada kedua-duanya masih belum diraih sepenuhnya, terutamanya oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” ujarnya.

Beliau berkata, isu tarif yang sering dibangkitkan dalam rundingan perdagangan juga perlu ditangani secara pragmatik.

“Pengurangan atau pelarasan tarif perlu dibuat berdasarkan data impak terhadap industri domestik, bukan tekanan emosi atau politik semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Pengarah dan Ketua Ekonomi Asia-Pasifik, Moody’s Analytics, Katrina Ell berkata, tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) adalah sebagai sebahagian daripada dasar luar negara mereka turut memberi kesan besar kepada perniagaan global.

“Ketidaktentuan mengenai kadar tarif dan tempoh penangguhannya menambah kebimbangan dalam kalangan pengusaha. Sebagai contoh, jika Malaysia dikenakan tarif 24 peratus, ini pastinya memberi kesan negatif kepada perniagaan.

“Namun, jika terdapat penangguhan selama 90 hari, kesannya mungkin lebih terkawal. Tetapi, dengan ketidakpastian yang wujud, tempoh penangguhan ini tetap membawa risiko kepada perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia merupakan pengeksport utama dalam perdagangan global, dengan peratusan perdagangan yang tinggi berbanding saiz ekonomi.

“AS bukanlah satu-satunya pasaran utama bagi Malaysia. Namun, jika AS terus mengamalkan dasar proteksionis, Malaysia perlu memperluaskan hubungan perdagangan dengan negara-negara lain.

“Berita baiknya, Malaysia tidak terlalu bergantung kepada AS, hanya sekitar 10 peratus berbanding negara lain yang mencapai sehingga 40 peratus,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, perang dagang antara AS dan China, meskipun Malaysia tidak terlibat secara langsung, turut memberi impak besar kepada ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya