Cadangan kenaikan caj pelabuhan berfasa, tidak membebankan - Utusan Malaysia

Cadangan kenaikan caj pelabuhan berfasa, tidak membebankan

CADANGAN kenaikan caj pelabuhan secara berfasa dijangka tidak membebankan industri. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan peningkatan caj pelabuhan sebanyak 30 peratus akan dilaksanakan secara berperingkat dan tidak akan menjejaskan industri, kata penganalisis.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, peningkatan berfasa mengikut jumlah atau masa dapat membantu pengeksport mahupun pengimport menyelaraskan kos mereka dengan stabil berdasarkan unjuran.

Ujarnya, kerajaan perlu membuat penilaian teliti terhadap beberapa mekanisme sebelum memberi kebenaran kenaikan tarif pelabuhan kerana ia mampu mempengaruhi kadar inflasi.

“Sebelum kerajaan membenarkan kenaikan tarif pelabuhan, perlu diadakan kajian berkenaan kesan kenaikan tersebut secara langsung kepada kadar inflasi.

“Dalam waktu yang mencabar ini terutamanya dengan perang dagang antara China dan Amerika Syarikat (AS) yang berpanjangan menyebabkan ketidaktentuan kepada perdagangan dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, caj baharu dijangka tidak membebankan kerana ia tidak dilaksanakan secara mendadak tanpa sebarang justifikasi.

Jelasnya, negara mungkin boleh melihat amalan terbaik yang diguna pakai oleh negara lain supaya mengambil kira kriteria yang penting dan kritikal dalam menetapkan kadar tarif.

“Boleh juga melihat kadar kenaikan berdasarkan kadar inflasi asalkan menggunakan tanda aras yang objektif,” ujarnya.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berkata, rasionalisasi caj pelabuhan mungkin perlu dilakukan sejajar dengan pergerakan negara kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Beliau berkata, penilaian boleh dilakukan mengikut bahagian atau prosedur tertentu dengan melakukan kajian pendek oleh institusi pengajian.

Katanya, penyelarasan semula sudah tentu akan melibatkan kenaikan dan kerajaan sepatutnya melabur dan teknologi untuk menjadikan operasi dan prosedur lebih cekap dan kemudian menentukan kadar caj yang baharu.

“Kerajaan perlu komited untuk bergerak ke hadapan dengan menggunakan teknologi baharu. Kajian berhubung caj pelabuhan baharu ini mungkin boleh dibuat dalam tempoh lima hingga enam bulan bagi mengetahui kadar baharu yang sesuai,” ujarnya.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu, kementerian sedang mengkaji mekanisme yang lebih tersusun berhubung caj pelabuhan bagi memastikan kelestarian pelabuhan negara serta keseimbangan antara keperluan pasaran dan pembangunan kapasiti.

Beliau berkata, semakan caj ketika ini didakwa tidak konsisten dan memerlukan satu sistem yang lebih telus dan tersusun di mana ada semakan berkala maksudnya ada kaji semula caj itu secara tahunan mungkin mengikut satu formula yang lebih rendah.

Anthony memberi perumpamaan seperti kenaikan Indeks Harga Pengguna (CPI) dan melihat kepada kadar inflasi tahunan supaya kenaikan caj itu mungkin secara beransur-ansur tidak mendadak.

Tahun lalu, terdapat proses menilai semula caj melalui pelbagai proses konsultasi dengan pihak pemegang taruh melalui jawatankuasa konsultatif di peringkat pelabuhan.

Cadangan yang dibawa kenaikan 30 peratus kali ini dilaksanakan secara berfasa selama tiga tahun bukan sekali gus tetapi akan naik 15 peratus pada fasa pertama, fasa kedua (10 peratus) dan fasa ketiga (lima peratus).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya