PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh usaha kerjasama dalam keselamatan siber dan perlindungan daripada penipuan digital.
Inisiatif ini juga menggalakkan hubungan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua bank pusat yang membolehkan perkongsian maklumat, bina upaya dan pertukaran amalan terbaik yang lebih berkesan.
MoU ini ditandatangani oleh Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor BOT, Dr. Sethaput Suthiwartnarueput.
MoU ini menegaskan komitmen BNM dan BOT untuk meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber dan memperkukuh pertahanan siber industri kewangan kedua-dua negara.
Abdul Rasheed berkata, BNM terus komited untuk meningkatkan daya tahan institusi kewangan negara dan memantapkan perlindungan pengguna kewangan terhadap ancaman siber semasa dan yang baru muncul.
“Usaha sama dengan BOT ini akan memperdalam kerjasama kami berhubung dengan keselamatan siber dan pembanterasan penipuan digital,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Sethaput berkata, MoU ini mencerminkan komitmen BOT untuk bekerjasama dengan BNM bagi memperkukuh keselamatan siber dan memerangi penipuan digital.
“Kerjasama erat dan perkongsian pengetahuan adalah sangat penting untuk menangani ancaman siber yang semakin canggih.
“Melalui usaha sama ini, matlamat kami adalah untuk meningkatkan lagi daya tahan dan keselamatan sistem kewangan demi manfaat pengguna di kedua-dua negara,” ujarnya. – UTUSAN