PETALING JAYA: Bilangan penganggur terus menurun kepada 532,800 orang pada Februari berbanding 533,800 orang pada Januari, dengan kadar pengangguran sebanyak 3.1 peratus, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh negara kekal stabil selaras dengan perkembangan ekonomi semasa yang menggalakkan.
“Dalam hal ini, bilangan tenaga buruh pada Februari 2025 berada dalam trend yang meningkat, naik sebanyak 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 17.27 juta orang berbanding 17.22 juta orang pada Januari.
“Kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi direkodkan pada bulan tersebut iaitu pada 70.7 peratus berbanding 70.6 pada Januari.
“Peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja dan trend penurunan dalam bilangan penganggur merupakan penyumbang kepada kedudukan positif ini,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, bilangan penduduk bekerja pada Februari lalu menunjukkan peningkatan berterusan dengan pertambahan sebanyak 0.3 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 16.73 juta orang, berbanding 16.68 juta orang pada bulan sebelum.
“Pada masa sama, bilangan penganggur mengalami penurunan 0.2 peratus, berkurang kepada 532,800 orang berbanding 533,800 orang pada Januari. Kadar pengangguran kekal pada 3.1 peratus, tidak berubah daripada bulan sebelumnya,” ujarnya.
Mengulas mengenai senario guna tenaga, pada Februari 2025, kategori pekerja yang merangkumi 75.2 peratus daripada jumlah penduduk bekerja naik sebanyak 0.2 peratus kepada 12.59 juta orang berbanding 12.56 juta orang pada Januari.
“Begitu juga, bilangan penduduk yang bekerja sendiri meningkat sebanyak 0.6 peratus, mencecah kepada 3.13 juta orang berbanding 3.11 juta pada Januari 2025.
“Mengikut sektor ekonomi, sebahagian besar penduduk bekerja adalah tertumpu dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam aktiviti penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi.
“Trend guna tenaga yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian, manakala bilangan penduduk bekerja dalam sektor perlombongan dan pengkuarian menurun,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, 79.3 peratus daripada bilangan penganggur adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.
“Dalam kategori ini, bilangan tersebut menurun sebanyak 0.2 peratus merekodkan 422,700 orang berbanding 423,600 pada Januari.
“Dalam kalangan penganggur aktif, 63.7 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 5.6 peratus berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
“Bilangan penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, menurun sebanyak 0.1 peratus kepada 110,100 orang berbanding 110,200 pada Januari,” ujarnya. – UTUSAN