KUALA LUMPUR: ASEAN perlu bergerak secara bersama sebagai satu blok ekonomi yang besar untuk mencari penyelesaian dalam kemelut tarif ketika ini, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, negara-negara anggota itu sentiasa terbuka untuk melakukan pelarasan atau pembetulan jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian dalam isu tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS) itu.
Katanya, ASEAN sudah tentu menyokong perdagangan bebas melalui mekanisme seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Jika ada keperluan untuk melakukan pelarasan atau pembetulan, kita sentiasa terbuka untuk melakukannya.
“Oleh itu, kita semua tanpa pengecualian menyuarakan rasa tidak setuju dan tidak puas hati terhadap keputusan unilateral oleh AS ini. Walaupun begitu, saya pernah tegaskan bahawa kita tidak seharusnya mengamalkan ‘megaphone diplomacy’.
“Penyelesaiannya seharusnya melalui pembabitan yang lebih efektif secara bersama sebagai ASEAN,” katanya pada media di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berharap isu tarif AS ini dapat diselesaikan secara baik.
“Namun begitu, kita juga menegaskan bahawa hubungan kita dengan negara jiran lain, termasuk China, akan terus berjalan.
“Kita menanti-nantikan lawatan Presiden Xi Jinping minggu hadapan dan saya tentunya memberikan penghormatan penuh kepada beliau sebagai rakan dagang dan perniagaan yang penting,” katanya.
Tambah beliau, semua negara ASEAN mencapai kata sepakat mengenai perkara itu dengan menteri-menteri perdagangan dan kewangan telah mengeluarkan kenyataan bersama yang menekankan keperluan untuk meningkatkan kepentingan bersama dalam perdagangan, pelaburan serta kerjasama dalam bidang digital dan tenaga.
“Pada masa yang sama, kita juga mengambil pendirian bersama bahawa semua negara termasuk AS perlu menghormati peraturan perdagangan berasaskan undang-undang,” katanya. – UTUSAN