KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) menyatakan komitmen mereka untuk mengadakan dialog yang terbuka dan membina dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menangani kebimbangan berkaitan dengan isu perdagangan.
Dalam satu kenyataan bersama, AEM menyatakan komunikasi terbuka dan kerjasama akan menjadi asas kepada hubungan yang seimbang dan lestari.
“Dalam semangat ini, ASEAN komited untuk tidak mengambil sebarang langkah balas dendam berhubung tarif AS,” katanya.
AEM berkata, ASEAN menganggap AS sebagai rakan ekonomi yang lama dijalin dan sentiasa dihargai serta komited mempertahankan kepentingan ekonomi dan memastikan hubungan perdagangan yang kuat serta saling menguntungkan dengan negara itu.
“Secara khusus, kami menegaskan semula kesediaan kami untuk bekerjasama dengan AS di bawah Perjanjian Kerangka Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS (TIFA) dan Pelan Kerja Penglibatan Ekonomi yang Diperluas (E3).
“Kami akan meneroka penyelesaian yang boleh diterima bersama mengenai isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama.
“Ini termasuk memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala, memperdalam perkongsian perdagangan strategik, serta meningkatkan penyambungan dan daya tahan rantaian bekalan melalui teknologi digital dan inovasi yang dapat mempromosikan kerjasama serantau yang lebih kukuh,” ujarnya.
AEM percaya kerangka kerjasama ekonomi ASEAN-AS yang dipertingkatkan dan kukuh akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat setiap negara ASEAN serta ekonomi global yang lebih luas.
“Kerangka tersebut akan mengukuhkan penglibatan yang membina, memupuk rantaian bekalan serantau dan memacu inisiatif inovatif bagi memastikan hubungan ekonomi yang tahan lasak, selamat, stabil, dan saling menguntungkan. Fokus utama adalah pada sektor bernilai tinggi.
“Sektor-sektor tersebut termasuk perkhidmatan digital dan industri berasaskan pengetahuan, makanan, pertanian dan perhutanan, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, pembuatan lanjutan, elektronik, pakaian dan kasut, barangan perjalanan, penjagaan kesihatan, bioteknologi serta produk dan peralatan pengangkutan,” ujarnya.
Selain itu, ASEAN turut menegaskan sokongan terhadap sistem perdagangan multilateral yang boleh diramal, telus, bebas, adil, inklusif, lestari dan berasaskan peraturan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya.
“ASEAN juga mengakui peranan penting yang dimainkan oleh WTO dalam memupuk pertumbuhan ekonomi global.
“ASEAN menyokong kenyataan terkini oleh Pengarah Jeneral WTO, Dr. Ngozi Okonjo-Iweala, yang menekankan bahawa tarif AS akan memberi impak besar terhadap perdagangan global dan prospek pertumbuhan ekonomi, khususnya bagi Negara-negara Pembangunan Terbelakang (LDC).
“ASEAN menggalakkan WTO untuk berfungsi sebagai forum dialog untuk mencegah konflik perdagangan yang semakin meningkat dan untuk menggunakan WTO dalam mencari penyelesaian kerjasama yang membina,” katanya.
Sementara itu, ASEAN juga bertekad untuk terus memperdalamkan integrasi ekonomi serantau, merebut peluang di tengah cabaran global, mengekalkan persekitaran ekonomi serantau yang boleh diramal, telus, tidak diskriminasi, adil, inklusif dan terbuka yang telah menyokong pertumbuhan perdagangan serta pembangunan serantau.
Untuk tujuan itu, ASEAN akan terus mematuhi komitmen dalam perjanjian ASEAN serta memajukan inisiatif penting bagi mendorong perdagangan di rantau ini, seperti Pemerkasaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).
“Kami juga akan mengukuhkan dan memperluas hubungan ekonomi dengan rakan luar ASEAN, termasuk Rakan Dialog kami, dan mencari peluang untuk kerjasama ekonomi dengan rakan baharu,” ujarnya. – UTUSAN