PETALING JAYA: YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Communications) menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Equinix Inc., syarikat infrastruktur digital terkemuka dunia dan Transcelestial, perintis dalam teknologi komunikasi laser.
Kerjasama strategik ini bertujuan untuk membawa penyelesaian teknologi terkini kepada perniagaan di Malaysia dengan meningkatkan kapasiti ketersambungan dan kebolehan AI di seluruh negara dengan lebih lestari.
MOU ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee; Presiden Equinix EMEA, Bruce Owen dan Ketua Jualan Transcelestial, Dinesh Kumaran pada Kongres Dunia Mudah Alih (Mobile World Congress) 2025 di Barcelona, Sepanyol.
Ia disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Seri Dr. Chee Hong Leong.
Wing K. berkata, sebagai perintis dalam 5G dan kecerdasan buatan (AI), pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kemajuan teknologi di Malaysia.
Katanya, kerjasama ini akan mempercepatkan penerimaan AI dan transformasi digital negara dengan melengkapkan perniagaan dengan ketersambungan bertaraf dunia dan infrastruktur lestari.
“Dengan menggabungkan teknologi AI canggih dengan kelestarian, kami memberi kuasa
kepada perniagaan untuk berinovasi menggunakan AI sambil menggalakkan tanggungjawab
terhadap alam sekitar.
“Dengan jangkauan global yang dikuasakan oleh Equinix Fabric, manfaat faedah berkembar (twin-benefit) ini boleh diperluaskan kepada lebih banyak perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, YTL Communications akan membolehkan pelanggan antarabangsa mengakses YTL AI Cloud yang canggih melalui rangkaian global Equinix dan membolehkan YTL AI Cloud menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk pengkomputeran di peringkat serantau.
Jelasnya, melalui servis rangkaian global terkemuka milik Equinix, perniagaan boleh mempunyai akses yang boleh dipercayai dan selamat kepada YTL AI Cloud untuk GPU-sebagai-Perkhidmatan (GPU-as-a-Service), membolehkan syarikat mendapatkan akses pada unit pemprosesan grafik (GPU) generasi terkini untuk kerja AI mereka.
“Dengan YTL AI Cloud yang disokong 100 peratus tenaga boleh diperbaharui di Taman Pusat Data Hijau 500MW milik YTL, kerjasama ini akan membolehkan perniagaan menerima AI tanpa memberi impak terhadap kelestarian iklim, selaras dengan trend global ke arah pembangunan AI yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, teknologi inovatif Transcelestial berpotensi untuk menyediakan ketersambungan fibre-level di atas kawasan dan persekitaran yang biasanya menimbulkan cabaran kepada kabel fibre optik konvensional.
“Kerjasama ini akan membantu kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami seiring dengan peningkatan penggunaan data, sejajar dengan usaha Malaysia menuju negara digital.
“Kami menantikan peningkatan prestasi dan daya tahan rangkaian kami serta mengalu-alukan pelanggan perniagaan melalui kerjasama baru ini,” katanya. – UTUSAN