Transaksi e-pembayaran cecah RM698.1 bilion tahun lalu - Utusan Malaysia

Transaksi e-pembayaran cecah RM698.1 bilion tahun lalu

TRANSAKSI e-pembayaran meningkat tahun lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nilai transaksi e-pembayaran runcit terpilih pada tahun lalu mencecah RM698.1 bilion, meningkat sebanyak 17 peratus, disokong kerancakan aktiviti penggunaan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM menerusi Laporan Tahunan 2024 berkata, transaksi keseluruhan e-pembayaran meningkat sebanyak 28 peratus kepada 14.7 bilion transaksi tahun lalu berbanding 11.5 billion transaksi pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, perbankan dalam talian kekal paling banyak digunakan dengan peningkatan 24 peratus pada 2024, sementara dari segi saluran, bahagian perbankan mudah alih mencatatkan 62 peratus, lebih tinggi daripada perbankan internet.

“E-pembayaran kedua paling banyak digunakan ialah transaksi e-wang yang meningkat sebanyak 25 peratus pada 2024 berbanding 26 peratus sebelum ini, dengan sebanyak 64 peratus daripada transaksi itu dikaitkan dengan dompet elektronik (e-dompet), dengan bakinya kepada e-wang berasaskan kad.

“Kad pembayaran merupakan kaedah e-pembayaran ketiga paling banyak digunakan dengan peningkatan transaksi sebanyak 20 peratus pada 2024, kad debit menyumbang 68 peratus daripada jumlah transaksi kad pembayaran dan penggunaan kad debit meningkat dua kali lebih cepat berbanding kad kredit (24 peratus berbanding 12 peratus),” kata bank pusat.

BNM berkata, transaksi kad tanpa sentuh terus meningkat disebabkan oleh kelajuan dan kemudahannya, membentuk 83 peratus daripada urus niaga kad pembayaran di premis fizikal sepanjang tahun.

Pertumbuhan itu disokong oleh penggunaan yang semakin meningkat dalam penggunaan dompet mudah alih di Malaysia seperti Apple Pay, Google Pay dan Samsung Pay serta pengembangan sistem pembayaran tol terbuka di lebih banyak lebuh raya.

Penerimaan transaksi e-pembayaran terus mendapat perhatian dalam kalangan perniagaan terutamanya perusahaan bersaiz lebih kecil dengan penggunaan QR DuitNow terus meningkat memandangkan kemudahannya, kos yang lebih rendah dan liputan yang luas.

Sementara itu, BNM berkata, jumlah hutang terkumpul skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) kekal sebagai sebahagian kecil daripada keseluruhan hutang isi rumah iaitu sebanyak RM2.8 bilion atau 0.2 peratus daripada jumlah hutang isi rumah setakat Disember 2024.

Menurutnya, jumlah pembelian menerusi BNPL menunjukkan peningkatan dari segi jumlah transaksi dan nilai, masing-masing kepada 83.8 juta transaksi dan RM7.1 bilion pada tempoh berkenaan.

“Setakat akhir Disember 2024, bilangan pengguna aktif mencecah 5.1 juta berbanding 4.3 juta pada Jun tahun lalu, namun risiko yang berkaitan dengan BNPL kekal terkawal.

“Tahap jumlah tertunggak BNPL kekal rendah pada 2.9 peratus daripada jumlah baki terkumpul BNPL dalam tempoh terbabit, berbanding 2.6 peratus pada Jun 2024,” kata BNM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya