PETALING JAYA: Titijaya Land Berhad (Titijaya), dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah meraikan 55 orang kanak-kanak di Rumah Anak Yatim At-Taqwa.
Pemaju gaya hidup bandar itu dalam kenyataan berkata, program tersebut sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan.
Katanya, selepas melakukan tinjauan ke atas bangunan rumah anak yatim berkenaan, kumpulan akan melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian bagi menambah baik keadaan bangunan tersebut, khususnya membaik pulih bahagian bumbung serta beberapa aspek lain.
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata, Titijaya percaya bahawa memberi kembali kepada masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan adalah satu tanggungjawab penting.
“Inisiatif ini hanyalah sebahagian daripada komitmen kami terhadap tanggungjawab sosial korporat dan usaha membina masa depan yang mampan.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan SAY dan Tengku Amir Shah dalam usaha murni ini.
“Kami juga menghargai usaha Tengku Amir Shah dalam memupuk masyarakat belia yang lebih dinamik di Selangor dan berharap dapat menjalinkan lebih banyak kerjasama CSR pada masa hadapan,” katanya.
Raja Muda Selangor bersama Poh Yit telah mengunjungi rumah anak yatim itu pada 19 Mac 2025.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada Program Ziarah Ramadan 2025, satu inisiatif SAY yang bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik di seluruh Selangor.
Raja Muda Selangor merupakan Pengasas dan Presiden Eksekutif SAY. – UTUSAN