Tealive sasar buka 80 cawangan di Thailand dalam tempoh 10 tahun - Utusan Malaysia

Tealive sasar buka 80 cawangan di Thailand dalam tempoh 10 tahun

BRYAN (lima dari kiri) bersama wakil Restaurants Development Co. Ltd (RD) ketika satu lawatan di pejabat Loob Holdings tahun lepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas kejayaan memasuki pasaran India tiga minggu lalu, Loob Holding Sdn. Bhd. kini mendedahkan rancangan untuk membuka 80 cawangan dalam 10 tahun di Thailand, sebuah lagi negara yang terkenal dengan budaya teh.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bryan Loo berkata, pihaknya telah memilih peneraju utama industri makanan dan minuman tempatan, Restaurants Development Co. Ltd (RD), sebagai francais induk mereka.

Katanya, RD kini mengendalikan lebih 300 cawangan Kentucky Fried Chicken di Thailand dan juga merupakan anak syarikat Devyani International Limited (DIL) dari India, yang merupakan pemegang francais induk Tealive di India.

“Kerjasama strategik Loob bersama DIL dan RD ini telah menjadikan India dan Thailand sebagai pasaran antarabangsa kesembilan dan kesepuluh bagi Tealive, jenama teh gaya hidup serantau terkemuka dan jenama utama tempatan milik Loob.

“Tealive, yang sinonim dengan minuman bukan sekadar teh, akan memperkenalkan konsep teh gaya hidupnya di Thailand, melengkapkan budaya teh tempatan dengan pilihan minuman tambahan istimewa yang dirumus khas seperti kopi, coklat premium dan smoothie buah-buahan serta snek Tealive kegemaran ramai.

“Rakan niaga kami di Thailand sudah berada di ratusan lokasi seluruh negara, untuk dimanfaatkan oleh Tealive. Lokasi sebenar kedai masih dalam perbincangan, tetapi matlamat kami adalah untuk mencapai 80 cawangan dalam masa 10 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Bryan yakin rangkaian luas dan kepakaran industri RD akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat Tealive di Thailand, disokong strategi pertumbuhan Tealive berteraskan keupayaan skala yang strategik.

“Keutamaan kami adalah untuk menyesuaikan tawaran kami dan berkembang dengan efisien melalui kerjasama erat bersama rakan niaga tempatan, memastikan jenama kami serasi dengan selera pengguna Thailand sambil mengekalkan komitmen kami terhadap kualiti dan inovasi,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif RD, Andrew Norton berkata, dengan pemahaman mendalam pihaknya mengenai pasaran tempatan dan inovasi produk Tealive, kerjasama ini diyakini akan mentakrifkan semula cara teh dinikmati di Thailand.

Dengan lebih daripada 950 cawangan di pelbagai wilayah termasuk Asia Tenggara, Mauritius, Kanada dan tidak lama lagi di Asia Barat dan India, Tealive kini bersedia untuk meneroka pasaran Thailand yang kaya dengan budaya teh tempatan.

Pasaran teh Thailand yang dinamik, didominasi oleh pengusaha tempatan, membuka peluang menarik bagi Tealive untuk memperkenalkan pilihan minuman moden baharu yang memenuhi cita rasa pengguna yang sentiasa berubah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya