KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, iaitu yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.92 bilion, berbanding RM2.72 bilion pada 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH selepas mengambil kira bayaran zakat sebanyak 2.57 peratus (RM99.35 juta).
“Kadar agihan keuntungan 2024 yang lebih tinggi ini dipacu prestasi pelaburan yang lebih baik kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada tahun lepas, di samping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi.
“Ini adalah pulangan terbaik sejak 2018. TH akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi masa hadapan bagi membantu pendeposit mengembangkan tabungan haji mereka secara mampan,” katanya dalam sidang akhbar Agihan Keuntungan 2024 Tabung Haji di sini semalam.
Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Ahad 23 Mac 2025 menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
TH juga mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM99.35 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri (MAIN) bagi pihak pendeposit untuk 2024.
Jumlah terkumpul zakat yang telah dilunaskan adalah sebanyak RM1.47 bilion sehingga kini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH mencatatkan pendapatan keseluruhan berjumlah RM4.56 bilion, meningkat 6.29 peratus pada tahun lalu berbanding RM4.29 bilion yang direkodkan pada 2023.
Ujarnya, TH turut merekodkan prestasi pelaburan yang baik pada 2024 dengon mencatatkan pulangan pendapatan 5.08 peratus sebelum pelunasan zakat, Bantuan Kewangan Haji dan kos koperasi.
“Jumlah aset di bawah pengurusan TH pula mencapai RM95.06 bilion, naik 3.77 peratus daripada RM91.61 bilion pada 2023, didorong pendapatan dan nilai pelaburan yang lebih kukuh.
“Dana pendeposit mencecah RM91.75 bilion pada akhir 2024, meningkat berbanding RM89.01 bilion pada akhir 2023,” katanya.
Syed Hamadah berkata, prestasi TH tahun lalu adalah berkadaran dengan Alokasi Aset Strategik yang berlandaskan tahap toleransi risiko dan tahap kecairan yang bersesuaian untuk TH.
“Pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap menjadi penyumbang terbesar dan telah menjana 50 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 35 peratus disumbangkan oleh pelaburan ekuiti.
“Keuntungan daripada dagangan saham telah meningkatkan pendapatan pelaburan ekuiti, selari dengan prestasi pasaran saham domestik yang memberangsangkan pada 2024.
“Secara keseluruhannya, pelaburan dalam negara telah menyumbang 91.06 peratus daripada pendapatan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, prestasi kewangan kekal kukuh walaupun TH merekodkan rosot nilai ke atas pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi yang dilakukan sebelum 2018.
“Walaupun berdepan prestasi ekonomi dunia yang bergelut dengan tekanan inflasi pada tahun lalu, ekonomi Malaysia terus berkembang 5.1 peratus didorong permintaan domestik yang kukuh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan langsung asing.
“Perkembangan ekonomi negara turut didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, dengan sokongan dasar baharu seperti peningkatan gaji minimum dan semakan gaji penjawat awam,” katanya. – UTUSAN