PETALING JAYA: Bank-bank di Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan sederhana tahun ini, disokong oleh pengembangan pinjaman yang stabil serta perbelanjaan peruntukan pinjaman yang masih terkawal.
RAM Rating Services Bhd. berkata, bank-bank Malaysia mencatat prestasi keuntungan yang lebih kukuh pada 2024, didorong oleh pendapatan bukan faedah yang lebih tinggi, peruntukan pinjaman yang lebih rendah serta pertumbuhan pinjaman yang sihat, meskipun margin faedah bersih (NIM) purata sedikit menurun.
Jelasnya, pulangan purata sebelum cukai ke atas aset bagi lapan bank tempatan terpilih meningkat kepada 1.40 peratus pada 2024, berbanding 1.36 peratus pada 2023.
“Pulangan purata ke atas ekuiti pula meningkat kepada 14.0 peratus daripada 13.6 peratus.
“Lapan bank yang dianalisis oleh ialah Affin Bank Bhd. Alliance Bank Malaysia Bhd., AMMB Holdings Bhd., CIMB Group Holdings Bhd., Hong Leong Bank Bhd., Malayan Banking Bhd., Public Bank Bhd. dan RHB Bank Bhd.
“NIM purata bagi lapan bank ini mencatat penyusutan kecil sebanyak dua mata asas (bps) bagi tahun ini, menurun kepada 2.06 peratus, meskipun prestasi NIM berbeza mengikut bank.
“Bagi melindungi margin, bank-bank telah mengurus kos pembiayaan secara aktif dengan mengurangkan deposit mahal,” katanya dalam kenyataan.
RAM Ratings turut meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus tahun ini berbanding tahun lalu sebanyak 5.1 peratus, yang akan terus menyokong pertumbuhan kredit.
“Walaupun pertumbuhan ekonomi lebih rendah, ia masih disokong oleh permintaan domestik, berikutan keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta kadar faedah yang kondusif.
“Kedua-dua pelaburan awam dan swasta juga dijangka menjadi pemacu pertumbuhan, didorong oleh pelaksanaan projek infrastruktur berbilang tahun yang sedang berjalan serta peningkatan dalam pelaksanaan pelaburan yang diluluskan.
“Bagaimanapun, risiko terhadap pertumbuhan pinjaman cenderung kepada arah penurunan tahun ini,” katanya.
Agensi penarafan itu berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi serta penyesuaian lain, ditambah dengan ketidaktentuan global dan ketegangan geopolitik, berpotensi menjejaskan sentimen pengguna dan perniagaan.
Setakat akhir Disember 2024, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) dalam sistem perbankan menurun ke paras terendah dalam sejarah, iaitu 1.44 peratus.
“Rizab yang mencukupi sejak beberapa tahun kebelakangan ini membolehkan purata nisbah kos kredit bagi lapan bank terus bertambah baik, mencatatkan 18 mata asas berbanding 23 mata asas pada 2023.
“Nisbah perlindungan GIL purata, termasuk rizab kawal selia sebanyak 143 peratus masih ketara lebih tinggi berbanding paras pra-pandemik iaitu 107 peratus,” katanya.
Agensi penarafan itu menjangkakan kualiti aset bank-bank Malaysia akan kekal kukuh pada 2025.
Sementara itu, Ketua bersama penarafan institusi kewangan RAM Ratings, Wong Yin Ching berkata, margin dijangka kekal stabil tahun ini, sejajar dengan jangkaan bahawa kadar dasar semalaman (OPR) akan terus kekal tidak berubah.
“Sementara itu, pinjaman domestik meningkat 5.5 peratus pada 2024 berbanding 5.3 peratus pada tahun sebelum, dengan pinjaman isi rumah menerajui pertumbuhan kredit pada kadar 6.0 peratus, mengatasi pinjaman perniagaan (4.8 peratus).
“Sebahagian besar pinjaman isi rumah dipacu oleh pinjaman perumahan (6.9 peratus) dan pembiayaan kenderaan penumpang (8.5 peratus), yang secara kolektif menyumbang 80 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah.
“Kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman pada 2025 akan kekal stabil sekitar 5.5 peratus,” katanya. – UTUSAN