PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bekerjasama dengan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) melancarkan Felo Sarjana Sultan Nazrin Shah, jawatan akademik berprestij yang bertujuan memacu kepimpinan pemikiran dan inovasi dalam kewangan Islam.
Felo Sarjana Sultan Nazrin Shah menawarkan felo terpilih peluang istimewa untuk bekerja dan terlibat dengan sarjana global dan pemimpin industri untuk membentuk masa depan kewangan Islam.
Felo terpilih akan menumpukan pada pengukuhan perkongsian strategik, projek bersama dan perkongsian pengetahuan untuk kemajuan industri, dan tidak terbatas kepada penyelidikan berkenaan tren dan inovasi baharu.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, sebagai peneraju global dalam kewangan Islam, SC komited untuk membentuk masa depan industri melalui pengetahuan, inovasi dan kerjasama.
Katanya, program felo sarjana ini akan menjadi pemangkin untuk merintis penyelidikan dan idea baharu untuk memacu kemajuan yang bermakna dalam kewangan Islam.
“Calon harus memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang yang berkaitan dengan pengalaman penyelidikan yang luas.
“Mereka yang berpengalaman dalam mendapatkan pembiayaan untuk projek penyelidikan dan pembangunan perkongsian akan mempunyai kelebihan,” katanya dalam kenyataan.
Program felo sarjana sepenuh masa ini akan berpusat di OCIS, dengan penempatan dijangka bermula pada suku ketiga 2025, selaras dengan tahun akademik OCIS.
Kepada yang berminat boleh memohon https://www.oxcis.ac.uk/sites/default/files/inline- filesFellowship%20in%20Islamic%20Financial%20Markets.pdf atau layari https://www.oxcis.ac.uk/. – UTUSAN