KUALA LUMPUR: Wawasan Dengkil Berhad, syarikat pembinaan yang mengkhusus dalam kejuruteraan awam dan perkhidmatan kerja tanah mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 25 sen sesaham, tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 2.89 juta saham didagangkan semasa pasaran dibuka.
Bagaimanapun, saham itu mula susut, mencecah 23.5 sen pada pukul 9.10 pagi selepas lebih 11 juta saham bertukar tangan.
Pengarah Eksekutif Wawasan Dengkil, Lim Soon Yik berkata, penyenaraian ini menandakan satu pencapaian penting bagi syarikat dan memberikan peluang baharu untuk pertumbuhan.
“Hari ini merupakan detik bersejarah bagi Wawasan Dengkil, kerana kami secara rasmi menjadi syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri, kami telah membina reputasi kukuh dalam kerja tanah serta pembinaan kejuruteraan awam.
“Dengan modal baharu yang diperoleh daripada IPO ini, kami kini bersedia untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat dan merebut peluang baharu dalam sektor pembinaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE.
Wawasan Dengkil berjaya mengumpul RM 27.01 juta daripada IPO dan merancang untuk menggunakan RM 9.85 juta bagi modal kerja projek serta RM 7.58 juta bagi pembelian jentera dan kenderaan komersial.
Selain itu, sebanyak RM 1.43 juta bagi modal kerja am untuk menyokong operasi harian, RM 0.30 juta bagi pengubahsuaian pejabat, dan RM 3.85 juta bagi pembayaran balik pinjaman bank.
Dalam keputusan suku kedua yang belum diaudit bagi tempoh berakhir 31 Disember 2024, Wawasan Dengkil mencatatkan hasil sebanyak RM48.0 juta dengan keuntungan bersih RM3.4 juta.
Bagi prestasi kewangan sepanjang enam bulan pertama tahun kewangan 2025, syarikat merekodkan hasil sebanyak RM94.1 juta dengan keuntungan bersih RM6 juta.
Soon Yik berkata, Wawasan Dengkil akan memberi tumpuan kepada projek berskala lebih besar serta memperluaskan operasi dalam sektor kejuruteraan awam dan kerja infrastruktur ladang solar.
“Ketika ini, fokus utama kami adalah untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam kerja tanah dan pembinaan kejuruteraan awam.
“Kami percaya dengan pelaburan dalam jentera dan kenderaan komersial tambahan, kami dapat meningkatkan kapasiti projek serta mempercepatkan pertumbuhan syarikat dalam pasaran yang semakin berkembang,” katanya. – UTUSAN