KUALA LUMPUR: Pantech Global Bhd., pengeluar dan pengeksport kelengkapan paip kimpalan ‘butt weld’ dan paip dikimpal, memulakan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga 46.5 sen sesaham, diskaun 31.62 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 68 sen sesaham.
Pantech Global telah mengumpul RM178.32 juta melalui IPO dan akan memperuntukkan 74 peratus untuk pengembangan perniagaan dan perbelanjaan modal bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar dan pengeksport penyelesaian penghantaran bendalir untuk pelbagai industri khusus.
Pengarah Urusan Pantech Global, Adrian Tan berkata, penyenaraian tersebut menandakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikat dan sambutan pelabur mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran industri dan potensi jangka panjang syarikat.
“Kami komited untuk melaksanakan rancangan strategik, mengukuhkan keupayaan, memperluaskan pasaran dan menjana nilai mampan untuk pemegang kepentingan. Penyenaraian ini hanyalah permulaan kepada babak baharu yang lebih menarik.
“Kami berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara sebagai hab pengeluaran dan eksport, serta memberikan pertumbuhan dan pulangan mampan kepada pelabur,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia, semalam.
Mengulas mengenai rancangan pertumbuhan syarikat, Adrian berkata, Pantech Global telah memeterai perjanjian pembelian tanah di Selangor untuk pembinaan ibu pejabat korporat dan kilang baharu yang dijangka siap menjelang 2028.
Menurutnya, fasiliti itu akan meningkatkan keupayaan dan kepelbagaian pembuatan kelengkapan keluli karbon syarikat.
“Kami juga merancang pembinaan gudang baharu di Johor bagi meningkatkan kecekapan dalam memenuhi pesanan, di samping pembinaan kemudahan penggilapan yang mampu memproses paip sepanjang 11.8 meter, hampir dua kali ganda daripada kapisiti sedia ada. Projek ini dijangka siap masing-masing pada 2026 dan 2027,” katanya.
Selain itu, syarikat turut melabur dalam teknologi automasi bagi meningkatkan kecekapan operasi termasuk pembelian mesin pemotong laser gentian serta pembangunan kemudahan baharu yang bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.
Dengan pelaksanaan inisiatif strategik ini, Pantech Global yakin dapat terus berkembang dan memperkukuh kedudukan dalam industri, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian penghantaran bendalir di peringkat global. – UTUSAN